Saturday, August 22, 2009

SELAMAT BER RAMADHAN

Hari ini bermulalah 1 Ramadhan dan yang wajibnya semua umat Islam yang akil baligh, berakal dan mumaiyiz akan berpuasa. Walaupun ada yang tetap yang mempertahankan penyakit gastriknya. Bagi orang Islam yang taat dan mencari keimanan, puasa wajib dilakukan walaupun getir menahan lapar dan dahaga.
Kita juga wajib bersyukur kerana Allah memberi ruang untuk bertemu Ramadhan. Samada dapat di habiskan atau tidak, itu tidaklah kita ketahui. Moga Allah memberi kesempatan untuk kita agar dapat menghabiskan Ramadhan dan dibarkati umur.
Sebut pasal umur, yang nyata, umur kita makin pendek. Bertambah saat maka berkuranglah umur. Suka atau tidak, itulah kenyataan yang patut ditempuhi. Yang pastinya, masa bertemu Izrail akan tiba dan semakin hampir. Itulah realiti yang kita kena bersedia.
Sempena Ramadhan ini, tekad untuk terus berjuang menegakkan kalimah Allah dan Islam, perlu diperkuatkan. Jadikan Ramadhan masa kita merenung diri ini, apakah yang telah kita buat untuk agama ini? Apakah yang telah kita sumbang dan korbankan untuk Islam? Berapa banyak masa kita korbankan untuk kepentingan Islam? Berapa banyak wang ringgit telah kita habiskan untuk Islam? Kita sendiri tahu jawapannya. Dan kita sendiri tahu kelayakan kita, umpama seorang pelajar yang gagal SPM, nescaya mustahil dapat masuk ke Universiti. Jika tiada apa yang kita lakukan untuk agama Allah, tak akan dengan mudah Allah akan memasukkan kita ke dalam syurga. Apatah lagi jika kita tergolong ke dalam golongan yang menentang agama Allah pula. Apakah cukup dengan belas kasihan untuk kita membeli syurga Allah.
Jadilah Ramadhan bulan menginsafi diri, memperbaiki diri dan kembali kepada Maha Penciptanya. Ingatlah kita dijadikan bukan sekadar khalifah (pentadbir) tetapi sebagai juga sebagai hamba. Hamba yang tidak mempunyai apa kuasa dan kekuatan melainkan yang diizin oleh Maha Pencipta sahaja.
SELAMAT BERIBADAT DAN SAMBUTLAH RAMADHAN DENGAN PENUH KEINSAFAN DAN JADIKAN RAMADHAN INI YANG TERBAIK. MOGA ALLAH MENERIMA SEGALA AMALAN DAN IBADAT KITA. INSYA'ALLAH.

No comments: