Saya merasakan betapa perlunya kerajaan Malaysia memerhatikan juga isu penindasan terhadap umat Islam yang kian parah diluar negara di samping terus meneliti kondisi tempatan dan kestabilan ekonomi negara. Kerajaan dengan barisan kabinet baru yang diterajui oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak juga perlu memulakan sesi pentadbiran pada kali ini dengan menjuarai isu umat Islam sekaligus menjadi duta diplomatik keamanan seranta.
Malaysia yang juga memimpin OIC boleh berperanan dengan berkesan jika kita terus-menerus melobi agar negara lain turut cakna dan aktif bersuara lantang untuk membela umat Islam sedunia. Kini uamt Islam sedunia makin parah masa depannya akibat polisi Amerika yang semakin lama semakin terpesong daripada kempen awal counterterrorist policy mereka.
Obama yang berjanji untuk menutup penjara Guantanamo dalam masa setahun selepas mengambil alih White House masih kelihatan ragu-ragu apabila kita dikejutkan semula dengan pembelasahan tentera Amerika Syarikat yang lebih dahsyat terhadap 250 orang baki tahanan di Cuba itu. Alasan tahanan tidak dibebaskan hanya kerana takut tahanan tersebut tidak akan diterima di negara asal mereka adalah tidak diterima akal. Malah kini kerajaan Obama pula meluluskan pula RM 217 juta untuk melebarkan lagi penjara di Bagram Afghanistan. Penjara ini menampung hampir 600 orang tahanan Taliban di mana lebih kurang 3 kali ganda lebih ramai berbanding baki tahanan di penjara Guantanamo.
Apa yang lebih menyedihkan kita adalah pendedahan oleh Utusan Malaysia ( 13 April) yang menyiarkan kisah penjara Bagram yang hampir ketandusan unsur hak asasi serta kemanusiaanya. Tahanan dilarang dari memiliki hak Habeas Corpus yang boleh mencabar Amerika untuk mensahihkan justifikasi sesuatu tahanan dilakukan. Tahanan Guantanamo masih berpeluang memiliki hak pengadilan dan kepeguaman berbanding tahanan Bagram. Mungkin disebabkan penindasan Afghanistan kini kian tidak popular, berselindung disebalik bukit dan gunung- ganang, kekurangan liputan wartawan antarabangsa serta imej taliban sendiri yang kurang disenangi oleh sesetengah pihak menyebabkan penghakisan hak kemanusiaan di Bagram tidak digariskan dalam mana-mana kenyataan media secara jelas.
Jika benar Obama komited dengan polisi peneutralan polisi luar Bush yang agresif terhadap umat Islam, kerajaan beliau tidak patut menfailkan rayuan untuk membantah keputusan hakim Mahkamah Daerah, John Bates yang membenarkan Habeas Corpus dilakukan terhadap tahanan di Bagram. Jika keputusan Bates dibenarkan sekalipun, kita bimbang proses Habes Corpus yang memungkinkan pembebasan tahanan Bagram, tidak akan berjalan dengan lancar tanpa kerjasama negara umat Islam lain mempromosikan bantuan kepeguaman terhadap mereka atau setidak-tidaknya bersuara agar dunia kembali berpaling sebentar ke Timur, untuk turut memerhatikan kekejaman yang berlaku di Afghanistan.
Bersempena penyiaran berita kekejaman ini, amatlah diharapkan barisan kepimpinan negara yang baru bersedia menerajui tindakan-tindakan proaktif untuk bersuara dalam isu-isu penindasan, kekejaman dan hak asasi di peringkat nasional dan antarabangsa demi mencerminkan nama dan jatibangsa Malaysia sebagai negara yang pro keamanan sejagat.
Muhammad Nuruddin Bashah
AJK Teras Pengupayaan Melayu (Perak)
Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ)