Tak lama lagi Hulu Selangor akan mendapat wakil rakyat Parlimen Baru. Pastinya ada pilihan raya, baru dapat memilih. Siapa yang menang, PR atau BN? Terpulang kepada pengundi yang memangkah. Banyak dipangkah, boleh menang.
Jentera parti masing - masing bertungkus - lumus. Kata - mengata, ejek - mengejek, mungkin sampai tumbuk - menumbuk dan pukul - memukul, itulah lumrah pilihan raya. Faham - faham ajelah bila rakyat berkumpul. Pesta pun bermula.
Peruntukkan dan bantuan datang mencurah - curah, biarpun tidak layak menerimainya. Janji dihamburkan macam bertih jagung. Tidak kurang air liur yang akan menjadi saksi di Padang Masyar kelak.
Rezeki pun bertambah bagi penduduk Hulu Selangor. Jika rajin menjual air di tepi jalan atau goreng pisang, pasti tak cukup tangan. Itu belum campur kalau ada rumah sewa.
Itulah Pesta Rakyat, Pesta dalam Sistem Demokrasi. Meriah juga memilih pemimpin.
Jangan pula selepas ini, ada yang berdoa mohon Wakil rakyat mereka mati, takut nanti tak ada yang nak jadi Wakil Rakyat.