Friday, April 3, 2009

HARI YANG BERSEJARAH?

Hari ini DS Najib telah diistiharkan sebagai PM ke 6 buat tanahair tercinta, Malaysia. Di dalam khutbah Jumaat juga dinyatakan, mungkin nak beritahu rakyat jelata. Dan yang pastinya apabila naik pemimpin baru, ada yang gembira, ada yang duka dan lebih ramai lagi yang tak ada apa - apa (neutral).
Yang gembira pastinya penyokong setia, mudah - mudahan dapat beroleh berkat atau tempias projek. Yang bersedih, pastinya musuh kerana tidak dapat seperti keinginan hati. Yang tiada apa - apa, nak gembira pun tidak bersebab, nak menangis pun tidak bersebab, sebabnya tiada apa yang untung dan tiada apa yang rugi.
Untuk PM ke 6, pastinya tersenyum lebar kerana mendapat ganjaran dan kuasa. Itulah adat dunia, yang menang gembira, yang kalah menangis. Tetapi kemanangan dunia bukan selama - lamanya. Kemenangan sebenar adalah di akhirat, apabila siap dihitung, ditempatkan ke syurga atau neraka. Itulah kehidupan akhirat yang lebih baik dari kehidupan dunia.
Pemimpin sejati adalah Rasulullah s.a.w, yang mementingkan umatnya lebih dari diri sendiri. Tiada harta yang dikumpulkan untuk baginda dan keluarga dan penyokong. Bahkan keluarga dan penyokong juga berkorban segala harta, bahkan nyawa untuk perjuangan baginda. Mampukah PM ke 6, membuat seperti ini, atau berusaha untuk membuat seperti ini. Hanya Allah yang lebih mengetahui.
Sekiranya kuasa dan takhta digunakan untuk memperkayakan diri, keluarga dan penyokong terdekat, nescaya balasan di akhirat menunggu. Siksa yang amat pedih sedang menanti. Menjadi pemimpin adalah amat berat, tanggungjawab bukan hanya kepada diri sahaja, bahkan kepada orang yang dipimpin. Sekiranya orang dipimpin tidak bersolat, pemimpin akan disoal jawab. Apakah usaha telah dibuat? Apakah ilmu telah disampaikan? Yang lebih malang lagi apabila pemimpin sendiri pun belum selesai perkara fardu ain.
Apatah lagi sekiranya pemimpin bersubahat pula menyeleweng, nescaya siksaanya lebih besar. Dosa seorang perompak tidak sama dengan dosa seorang pemimpin yang merompak. Seorang perompak mungkin akan ditembak pak polisi, tetapi bagi pemimpin sudah pasti mampu mengubahnya dengan kuasa yang ada perkara yang salah menjadi benar. Itulah daulat pemimpin.
Pemimpin yang adil satu golongan yang dijanjikan Allah mendapat naungan di Padang Masyar. Mungkin kita merasakan naungan di Padang Masyar, itu kecil, sebab belum kita tempuhi. Naungan itu adalah satu anugerah yang besar, dan ini bermakna untuk menjadi pemimpin yang adil, sudah pasti banyak dugaan. Dugaan yang jelas dinyatakan dari Al Quran ialah isteri, anak dan harta yang akan menjadi penghalangnya. Mampukah pemimpin menghadapinya. Rengekan isteri lebih merenggut hati, Tangisan si anak menghancurkan jiwa. Kehilangan harta pula, ramai yang sakit jiwa. Sudah pasti dugaan menjadi pemimpin lebih hebat dari rakyat. Yang pasti ramai pemimpin yang kecundang dan menangis sendiri di dalam kubur, menyesali nasib.