Akan tercatat di dalam sejarah, penentuan 3 pilihanraya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Kemenangan akan ditentukan oleh para pengundi kawasan masing - masing.
Parti yang berlawan telah mengemukakan pelbagai strategik samada secara benar atau salah untuk memastikan kemenangan calun masing - masing. Ada yang berhujah atas prinsip kebenaran. Ada yang menyalahgunakan kuasa, menipu, memainkan propaganda palsu. Yang penting hanya kemenangan. Rasanya tidak perlu dituding jari ke arah mana, bolehlah kita berfikir sendiri.
Kemenangan calun adalah segala - galanya, biarpun seribu kemungkaran dilakukan. Mungkin ada parti yang berprinsip seperti janji menang.
Melantik pemimpin adalah kewajipan umat. Di Malaysia, konsep demokrasi diamalkan. Malangnya konsep ini telah diputarbelitkan sehingga tidak peduli halal atau haram.
Di dalam hukum fekah, setiap ayam yang disembelih dengan cukup syaratnya, sah dimakan. Tetapi adalah kewajipan kita memastikan ayam tersebut bukannya haram, seperti ayam curi.
Begitulah memilih pemimpin. Dengan kuasa rakyat yang semakin tipis, rakyat berhak memilih pemimpin berasaskan pribadi pemimpin tersebut. Adakah pemimpin itu layak untuk memimpin dan mempunyai pribadi yang baik. Pemimpin yang berakhlak buruk akan cenderung berbuat kezaliman dan menyeleweng. Pemimpin seperti ini cenderung menggunakan kuasa untuk kepentingan pribadi. Ini yang perlu difahami.
Jangan taksub kepada parti, parti hanya wadah. Cuma secara logiknya, parti yang penuh rasuah akan didokongi oleh perasuah. Parti yang menghargai Islam akan dipenuhi oleh pejuang Islam.
Setiap pilihanraya nescaya pejuang Islam tidak boleh bersekongkol dengan perasuah. Di zaman teknologi moden, berita tentang pribadi dan akhlak seseorang mudah diperolehi. Jadi nilailah sendiri.
Undi adalah amanah yang perlu dipenuhi. Jika diberi kepada perasuah, kita bersubahat dengan perasuah. Sanggupkah kita bernaung di bawah panji - panji perasuah di Padang Masyar kelak. Mampukah kita menipu Allah atau menipu para malaikat. Undi kita melambangkan keinginan kita dan impian kita. Layakkah kita dimasukkan ke dalam syurga sekiranya kita menyokong perasuah dan orang zalim. Walaupun Allah maha pengampun, namun kita diberi pilihan.
Undilah dengan penuh bijaksana, calun yang mampu mengubah Malaysia ke arah kebaikan. Bukannya kehancuran dan menambahkan kezaliman.