Pagi tadi dapat berita, Ustaz Idham Che Kob telah meninggal dunia. Al Fatihah. Ustaz Idham adalah seorang pendakwah bebas di Pahang. Beliau menghadapi pelbagai rintangan dan cubaan biarpun tidak menyebelahi mana - mana parti politik. Perkara hak ditegakkan biarpun mendapat cercaan dan deraan dari sesiapa. Inilah pegangan pendakwah sejati. Moga Allah menempatkannya bersama para solihin.
'Setiap yang bernafas pasti merasai mati'.
Semua orang tahu. Tetapi persoalannya siapakah yang sentiasa mengingati di dalam hati dan fikiran. Orang yang mengingati mati adalah orang yang cerdik. Ada segolongan pihak menafikannya. Orang yang banyak mengingati mati, pasti takut untuk melakukan maksiat. Takut untuk menzalimi orang lain. Takut untuk merampas harta dan hak orang lain. Takut mengumpul harta berbilion - bilion. Takut tidak sempat bertaubat. Mengapa perlu takut untuk ingat mati.
Hari itu wajib datang tanpa kita ketahui dan sedari. Setiap detik yang berlalu akan mendekatkan kita kepada tanggal tersebut.
Sudah pasti orang yang banyak mengingatinya adalah orang yang pentingkan kehidupan akhirat lebih dari kepentingan dunia. Ini lah orang yang cerdik. Kehidupan dunia sebentar dan sekejap dibandingkan dengan kehidupan akhirat. Selepas insan mati, tiada lagi amal yang dapat dibuat, jika baik, bahagialah, jika tidak sengsara.
Banyaklah mengingati mati, nescaya Allah memberikan kita hidayah.