Wednesday, July 1, 2009

MINYAK KELANTAN, Siapa yang berhak?

Macam biasa, bila ada pilihanraya, pasti ada isu. Kebiasaannya isu setempat yang menarik perhatian. Begitu juga di Manek Urai, Kelantan? Tanggal 14hb sebagai tarikh keramat. Parti - parti berusaha memenangkan calun masing - masing. Isu mesti panas dan meletup.
Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri berhujah dan memberi pandangan, tentang minyak di Kelantan. Rasanya bukan minyak, tetapi gas asli. Boleh disimpulkan, kata Kerajaan Pusat kawasan gas asli berada di perairan bertindih. Sementara, Kerajaan Kelantan kata, jarak yang dekat. Walaubagaimanapun, Kerajaan Pusat tetap mendapat hasil dari gas asli tersebut.
Apalah salahnya diberi royalti sedikit kepada Kelantan? Kerajaan Pusat tetap tidak rugi. Berilah peluang kepada Kerajaan Kelantan mentadbir sendiri duit tersebut. Walaupun royalti bukannya hak mutlak negeri, tetapi sedikit imbuhan perlu diberikan kerana kawasan carigali berdekatan dengan Kelantan. Secara tidak langsung akan menjana ekonomi setempat, khususnya di Negeri Kelantan.
Biarpun hujah Kerajaan Pusat, Kelantan mendapat peruntukkan terbesar RM7.6 billion. Data negeri lain tak sempat disemak. Kalau tak silap Melaka dapat hanya 4.2 billion sahaja. Seperti sedia maklum, duit peruntukkan Kerajaan Pusat tidak melalui Kerajaan Negeri. Jadi Kerajaan Negeri hanya mempu melihat tetapi tidak mampu mengurus. Kesimpulannya, Rakyat dapat manfaat, tetapi Kerajaan Negeri tak dapat nama.
Selama ini Kerajaan Pusat kata Kelantan negeri miskin, jadi beri mereka peluang mentadbir untuk membuktikan kemampuan.
Saya yakin dengan kepimpinan yang jujur, amanah dan mementingkan rakyat, wang tersebut tidak diselewengkan. Banyak kebajikan untuk rakyat Kelantan dapat diperuntukkan. Bukan sahaja Rakyat Kelantan tetapi rakyat Malaysia khususnya. Peluang pekerjaan di Negeri Kelantan akan bertambah. Sesiapa sahaja boleh ke sana untuk mencari rezeki. Kelantan akan menjadi tempat tumpuan industri gas di Malaysia. Mungkin Kerajaan Kelantan kena bersikap terbuka, berkaitan dengan dasar perumahan dan perniagaan untuk bukan orang Kelantan. Jika tidak hanya berselindung disebalik nama Islam sahaja. Mungkin inilah masanya Kerajaan Kelantan dapat membuktikan kepimpinan yang terbaik dan teratur.
Mungkin selepas ini wajah Kelantan khususnya kawasan daratan gas asli akan berubah. Sama - samalah kita menyokong, kembalikan royalti di Kelantan.
* Kerajaan Kelantan - PAS
* Kerajaan PUSAT - UMNO

MINYAK KELANTAN - HUJAH KERAJAAN PUSAT

1...Jarak blok carigali Blok A18, Blok B17 & C19, PM3, PM301 & PM302, PM303, PM311 & 312 bukanlah berada didalam kawasan Pantai Kelantan, tetapi lebih kepada kawasan Eksklusif Negara. Menurut Penandaan dan Pengukuran Maritim Antara Negeri2 Semenanjung, yang dikeluarkan JUPEM (Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia), hak perairan setiap negeri telah dikhususkan hanya beberapa batu nautika dari persisir pantai dan pulau negeri, dan selebih dibawah selia dan hak Kerajaan Malaysia, seperti mana yang telah dipersetujui didalam Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 (KUUL 1982) yang telah dikawal selia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam menentukan sempadan maritim, garis-garis pangkal dan batas maritim state and country, serta koordinat geografikal.

2....Asas penentuan sempadan antara negeri-negeri adalah berdasarkan kepada:-
i.Treaty with the King of Quedah, 1800 (Confrimed 1802).
ii.Frontier and Boundary Treaties (Quedah 1831)
iii.Rumbowe Boundary Agreement bertarikh 9 Januari 1833
iv.Johole, 1833
v.Perjanjian 1867
vi.The Boundary Convention signed at London on 20th June 1891
vii.Federation of Malaya Government Gazette yang telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri masing-
masing
viii.Memorandum Persefahaman
ix.Pertukaran surat menyurat di antara Setiausaha Residen
xi.Jajaran lot-lot sediada
xii.Mengikut legeh utama (watershed)

Maka kedua-dua fakta tersebut telah menolak hak Kelantan menuntuk hak blok2 cargali tersebut.

Jika royalti yang dituntut oleh Kerajaan Kelantan sepertimana royalti yang diberikan kepada Terengganu dan Sabah dan Sarawak, maka royalti itu adalah hak Kerajaan Pusat samaada untuk diberi atau tidak, (berdasarkan kedudukan blok carigali).

Royalti yang diberikan kepada Terengganu serta Sabah dan Sarawak adalah ehsan Kerajaan Pusat berdasarkan perjanjian awal antara Petronas (GLC) dengan Kerajaan Negeri. Dan salah satu perjanjian persefahaman adalah, Kerajaan Negeri selaku penerima royalti harus menyediakan prasarana utama dalam penyedian depot Gas Asli dan Minyak.

LAGI MINYAK DI KELANTAN

MINYAK DI PERAIRAN KELANTAN HAK MUTLAK PUSAT?
In 1 on June 29, 2009 at 10:46 pm


“Mengikut peraturan perairan Negara, kawasan kosong hingga tiga batu nautika adalah tertakluk di bawah bidang kuasa atau hak kerajaan negeri, manakala tiga batu nautika hingga 200 batu nautika adalah di bawah Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.” kata Mustapha Mohamad.

“Sekiranya diukur jarak pelantar tersebut dengan pantai Kelantan hanya 170 km berbanding dengan Terengganu 220 km. Dan nilai pengeluaran gas dan minyak dari pelantar tersebut sejak 2004 sehingga tahun lepas berjumlah RM46.8 bilion. Sedangkan di perairan Terengganu sebanyak RM36 bilion manakala Sabah (RM5 bilion). Ini bermakna jumlah pengeluaran dari perairan Kelantan lebih besar,” kata Husam.

Tiga berita mengenai “emas hitam” di Kelantan

*Royalti Minyak Di Kelantan Tidak Berbangkit – Mustapa

*Royalti Minyak: Umno-BN tipu rakyat Kelantan!

*Jabatan Perangkaan, EPU sahkan Kelantan pengeluar minyak


Royalti Minyak Di Kelantan Tidak Berbangkit – Mustapa

KUALA KRAI, 27 Jun (Bernama) — Pemimpin parti pembangkang tidak harus mempolitikkan isu royalti minyak dan gas di Kelantan kerana ia tidak berbangkit, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, Kerajaan Kelantan tidak layak menerima royalti bahan itu sebagaimana negeri-negeri lain, termasuk Sabah, Sarawak dan Terengganu, kerana kawasan operasi bahan itu terletak di kawasan tuntutan pertindihan di bawah perjanjian perairan antarabangsa melibatkan negara jiran, Thailand dan Vietnam.

Menurutnya, isu berkenaan bukanlah baru, malah pernah dibangkitkan di Parlimen oleh pihak pembangkang.

“Jadi isu Kerajaan Pusat tidak membayar royalti minyak dan gas kepada kerajaan negeri Kelantan, tidak berbangkit, kerana kerajaan negeri tidak layak menerima royalti,” katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, dekat sini, Sabtu.

Katanya, kerajaan Pusat tidak sekali-kali mencabuli hak kerajaan negeri dan tidak menzalimi rakyat menikmati peluang pembangunan sebagaimana negeri lain di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, walaupun Kelantan tidak mendapat royalti bagi bahan petroleum itu, namun kerajaan Pusat tidak mengabaikan kebajikan rakyat dengan menyalurkan peruntukan besar sehingga lebih RM7 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Beliau berkata, mengikut peraturan perairan Negara, kawasan kosong hingga tiga batu nautika adalah tertakluk di bawah bidang kuasa atau hak kerajaan negeri, manakala tiga batu nautika hingga 200 batu nautika adalah di bawah Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.

Menurutnya, Kerajaan Pusat tidak akan menganiayai kerajaan Kelantan tanpa mengira fahaman politik untuk membela rakyat sama ada semasa atau selepas pilihan raya.

– BERNAMA

=================================================================
Royalti Minyak: Umno-BN tipu rakyat Kelantan!

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Hrkh) – Pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) terus berbohong dalam kempen pilihan raya kecil DUN Manek Urai dengan mengatakan tidak wujud minyak dan gas serta industrinya di negeri Kelantan.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendedahkan beliau sendiri telah pergi ke pelantar cari gali minyak dan gas di perairan Kelantan sebaik sahaja mendapat berita tentang wujudnya ‘emas hitam’ itu di negeri tersebut, sedikit masa dahulu.

“Kebetulan saya duduk tepi pantai, bersama orang ke laut (nelayan) (saya telah pergi) melawat pelantar minyak, tengok pelantar minyak (dan) pelantar gas di situ.

“Dalam kawasan (perairan) Kelantan, bukan dalam perairan Siam dan perairan antarabangsa,”jelasnya ketika berucap dalam majlis perisytiharan calon pilihan raya kecil DUN Manek Urai, di Kampung manek Urai Lama,kelmarin yang dipetik Buletin Online.

Sehubungan itu, beliau berkata, Petronas wajib membayar royalti minyak sebanyak 5% kepada negeri Kelantan sebagaimana perjanjian di antara syarikat minyak itu dengan kerajaan-kerajaan negeri pada tahun 1975.

Sebelum itu, Pengarah Pilihan raya KeADILan, Saifudin Nasution berkata pengundi Manek Urai mesti menolak Umno-BN sekiranya mereka bertanding dalam pilihan raya kecil DUN tersebut.

Beliau berkata demikian, kerana kerajaan BN bukan sahaja tidak membayar royalty minyak, malah telah berbohong dan menipu rakyat Kelantan dalam Parlimen mengenai kewujudan minyak di Kelantan.

“Kita kemudian mendapati, bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak bercakap benar, dalam bahasa kasar, mereka telah memberikan jawapan bohong dalam Parlimen.

“Hasil kajian kita mendapati dalam buku Jabatan Perangkaan Kerajaan Malaysia yang dikeluarkan pada 2007 mukasurat 187, jadual 5.3 menyebutkan dengan jelas negeri-negri pengeluar minyak di Malaysia,”tegas Saifudin yang juga ahli Parlimen Machang.

Katanya Umno-BN hanya menipu rakyat Manek Urai dengan memasang papan tanda ‘Rakyat di Dahulukan, Manek Urai Di utamakan’, sedangkan mereka tidak membayar royalti minyak yang telah berjumlah RM 1bilion sejak tahun 2002.

Oleh itu katanya rakyat mesti menolak calon Umno-BN pada pilihan raya kecil Manek Urai pada 14 Julai depan.

“Rakyat didahulukan, Manek Urai diutamakan? Dia boleh pasang papan tanda banyak-banyak (dalam kempen pilihan raya),tetapi bukti ini (telah) menunjukkan bahawa kita (Kelantan) ada minyak, Umno tak bayar royalti minyak.

“Sebab itu kita mesti tolak calon mereka (Umno-BN) pada pilihan raya kecil Manek Urai pada 14 hari bulan nanti,”katanya.

mks/Harakahdaily
====================================================================================

Jabatan Perangkaan, EPU sahkan Kelantan pengeluar minyak

KOTA BHARU, 29 Jun (Hrkh) – Sekiranya Kelantan tidak layak menerima royalti petroleum mengapa disenaraikan dalam Bank Data Malaysia sebagai salah sebuah negeri pengeluar minyak di negara ini.

Selain itu, berdasar kepada laporan Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (EPU) bertarikh 16 Mac 2009 Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan dalam sektor perlombongan meningkat secara mendadak kepada 22.4 peratus.

Sedangkan sebelum itu, sektor berkenaan hanya menyumbangkan sebanyak satu peratus sahaja kepada KDNK Kelantan.

“Ini seolah-olah menggambarkan EPU telah menyenaraikan Kelantan sebagai negeri pengeluar minyak sama seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Jadi mengapa ada menteri menyebut Kelantan tiada hak untuk mendapat royalti minyak,” kata anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Husam Musa pada persidangan Dun hari ini.

Isu royalti minyak menjadi topik menarik perhatian ahli-ahli Dewan apabila Haji Abdul Fatah Harun (PAS – Bukit Tuku) membangkitkan perkara itu berikutan soalan asal ditanya Dato’ Noor Zahidi Omar (BN – Pengkalan Kubur).

Menghurai panjang lebar perkara itu Husam berkata, Laporan Band Data Malaysia 2007 pada muka surat 187 secara jelas menyenaraikan Kelantan sebagai negeri utama dalam industri petroleum di negara ini sejak 2004.

Data tersebut menyebut nilai pertumbuhan industri petroleum di Kelantan, Sabah dan Terengganu sebanyak 62.5 peratus berbanding Sarawak (37.5 peratus).

Manakala nilai ouput (pengeluaran) tiga negeri berkenaan iaitu RM46.8 bilion berbanding Sarawak (RM14 bilion).

“Kita menuntut royalti daripada bahagian yang diterima Malaysia kerana kawasan pengeluaran minyak terbabit terletak di lokasi tuntutan bertindih dengan Thailand dan Vietnam.

“Kelantan tidak menuntut bahagian yang diterima Thailand, sebaliknya agihan diterima Malaysia selepas pembahagian dibuat antara tiga negara,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Mustapa Mohamed dilaporkan memberitahu kerajaan Kelantan tidak berhak menuntut bayaran royalti minyak dan gas kerana hasil petroleum itu diperolehi di kawasan bertindih.

Malaysia dan Thailand menandatangani perjanjian persefahaman pada 1979 berkaitan kawasan pembangunan bersama (JDA) yang diteroka kedua-dua negara.

Malaysia dan Vietnam juga bersetuju mengusahakan secara bersama cali gali minyak di kawasan berkenaan.

Husam berkata, sekiranya kawasan pelantar carigali minyak dan gas tersebut terletak di sebelah Thailand sudah tentu pelantar tidak dinamakan dengan nama Melayu iaitu Kekwa, Cakrawala, Seroja, Bintang dan Lawen.

“Sekiranya diukur jarak pelantar tersebut dengan pantai Kelantan hanya 170 km berbanding dengan Terengganu 220 km. Dan nilai pengeluaran gas dan minyak dari pelantar tersebut sejak 2004 sehingga tahun lepas berjumlah RM46.8 bilion.

“Sedangkan di perairan Terengganu sebanyak RM36 bilion manakala Sabah (RM5 bilion). Ini bermakna jumlah pengeluaran dari perairan Kelantan lebih besar,” ujarnya.

Oleh itu beliau berkata, kerajaan pusat sewajarnya membayar royalti sebanyak 5 peratus setahun seperti termaktub di bawah Akta Petroleum yang dianggarkan melibatkan sebanyak RM850 juta sehingga RM1 bilion sejak 2004 sehingga sekarang.

Beliau juga berkata, Kelantan masih mengharapkan pertimbangan sewajarnya kerajaan pusat bagi membayar royalti petroleum tersebut.

Menurutnya biar pun ada cadangan supaya tuntutan itu dibuat melalui perundangan, namun kerajaan negeri masih memilih menggunakan kaedah rundingan.

“Kita berharap ketua pembangkang di Dun Kelantan, Dato’ Md Alwi Che Ahmad membantu menyelesaikan tuntutan tersebut.

“Sekiranya ia menjadi kenyataan hasrat Adun Paloh, Dato’ Nozula Mat Diah untuk mendapat kenaikan elaun boleh dipertimbangkan,” katanya.

Manakala Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman (PAS – Mengkebang) mencadangkan kerajaan negeri menjemput alim ulama bagi menunaikan solat hajat dan menujat bagi melembutkan hati perdana menteri menimbangkan royalti minyak kepada Kelantan.

Lanjusoh/mj/harakahdaily

Minyak di Kelantan

Malaysia Waves: UMNO Merompak Minyak di Kelantan Bagi Mengkayakan Kroni

lanailestari: Dari Catatan Sejarah Bangsa

lanailestari: Dari Catatan Sejarah Bangsa