________________________________________________________________________
Al-Ghuraba': Tersisih dan Terasing Kerana Mengamalkan Islam Yang Tulen
http://an-nawawi.blogspot.com
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
Maksud: Berkata Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam: “Islam itu bermula dalam keadaan asing (ghareeb) dan akan kembali asing sebagaimana permulaannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu (ghuraba’).” (Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, Kitabul Iman, 1/350, no. 208 (Dari Abu Hurairah). Ibnu Majah, Sunan Ibni Majah, Kitabul Fitan, 11/485, no. 3976 (Dari Abu Harairah). Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 34/25, no. 16094 (Dari 'Abdurrahman B. Sannah))
Asingnya mereka yang mengamalkan Islam yang benar dapat dilihat dengan jelas disebabkan beberapa fenomena berikut:
1 – Banyaknya ritual-ritual agama (bentuk-bentuk ibadah) gaya baru yang disandarkan kepada Islam dan dilabelkan sebagai sebahagian daripada sunnah Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Dengannya, ia telah menutupi bentuk-bentuk agama dan cara beribadah yang sebenar berpandukan al-Qur'an dan as-Sunnah yang difahami sebagaimana generasi awal Umat Islam (para sahabat) mengamalkannya.
2 – Pelbagai jenis ritual ibadah bentuk baru itulah yang dinamakan sebagai bid'ah sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam:
وَإِيَّاكُمْ وَالْأُمُورَ الْمُحْدَثَاتِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
Terjemahan: Jauhilah olehmu perkara-perkara baru yang diada-adakan (dalam beragama) kerana sesungguhnya setiap perkara baru yang diada-adakan (dalam beragama) itu adalah sesat. (Hadis Riwayat Ibni Majah, Sunan Ibni Majah, 1/49, no. 42. Tahqiq al-Albani: Sahih, no. 42. Hadis Dari 'Irbadh B. Sariyah)
Bid'ah-bid'ah inilah yang menjauhkan manusia dari mengamalkan agama yang sebenarnya. Lalu mereka yang mengamalkan agama yang tulen dipandang serong dan seakan-akan menjadi asing (pelik).
3 – Disebabkan masing-masing mahu menjuarai dalam agama, maka perpecahan pun berlaku dengan berleluasa. Masing-masing kelompok membina agama berdasarkan aliran pemikiran dan hawa nafsu masing-masing. Mereka meninggalkan petunjuk dan garis panduan sebenar di dalam memahami agama yang telah sedia diwariskan dari generasi para salafus Sholeh (generasi awal umat Islam yang soleh). Mereka tidak mempedulikan firman Allah Subahanhu wa Ta'ala supaya mengikuti dengan baik jejak-jejak yang dirintis oleh para Salafus Sholeh (pendahulu terbaik dari umat ini):
وَالسَّابِقُونَ الأوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Terjemahan: Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshor dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal abadi di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar. (Surah at-Taubah, 9: 100)
4 – Kebodohan (kejahilan) yang begitu marak dan leluasa melanda sebahagian besar umat Islam. Ilmu berkenaan aqidah dan dasar-dasar 'ubudiyyah kering dari mengalir di dalam jiwa dan sanubari mereka. Lebih malang lagi, mereka meninggalkan usaha untuk memahaminya dan terus hanyut disibukkan dengan urusan selainnya yang semakin menjauhkan mereka dari kebenaran.
5 – Berpalingnya manusia dari agama dengan memahami agama itu dengan keinginan hawa nafsu masing-masing.
6 – Taklid buta di dalam soal beragama menjadi suatu kebiasaan. Mereka selesa untuk beragama dengan agama yang mereka perolehi dari apa yang datuk nenek mereka amal dan wariskan walau pun apa yang datang dari datuk nenek mereka itu adalah suatu kebatilan. Kesalahan dari datuk nenek mereka terus diperturunkan dari suatu generasi ke generasi seterusnya disebabkan kejahilan mereka yang meninggalkan sikap ilmiyah dan kritis dalam memahami sumber-sumber agama yang benar.
Allah Subhanahu wa Ta'ala telah memberi peringatan:
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلا يَهْتَدُونَ
Terjemahan: Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah,” mereka menjawab: “(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami”. “(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?”. (Surah al-Baqarah, 2: 170)
7 – Taklid buta dengan apa keluar dari mulut-mulut manusia yang digelarkan sebagai Ustaz mahu pun ulama menjadi suatu perkara yang biasa. Mereka merasa puas dan cukup dengan perkataan ustaz dan ulama. Lalu mereka mengabaikan perkataan yang lebih agung iaitu dari Kalam Allah dan perkataan Rasul-Nya. Ia menjadi lebih parah apabila perasaan taksub dan fanatik menguasai hati-hati mereka dengan tidak mahu mengakui setiap manusia itu mungkin berbuat salah dan tidak maksum.
Imam asy-Syafi'e rahimahullah berpesan:
إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فقولوا بسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم ودعوا ما قلت
Terjemahan: Apabila kamu menemui sesuatu di dalam kitabku yang berlainan dengan hadis Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah pendapatku itu. (Rujuk: Imam an-Nawawi, al-Majmu' Syarah al-Muhazzab, 1/63)
Begitulah serba sedikit berkenaan beberapa fenomena yang menjadikan golongan yang mengamalkan Islam yang tulen lagi sahih tersisih dan terasing. Mereka yang berada di atas kebenaran itu dipandang asing lagi pelik. Lebih parah, mereka bukan sahaja diasingkan, malah turut ditohmah dengan pelbagai bentuk fitnah dan kedustaan. Mereka dilabel sebagai sesat dan menyimpang.
Walhal, itu adalah disebabkan kejahilan golongan yang melabel itu sendiri lantaran jauhnya mereka dari ilmu dan sunnah-sunnah Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Jika mereka mahu meluangkan masa-masa mereka untuk menela'ah, nescaya mereka akan menemui semua itu sebenarnya bersumberkan kepada sandaran yang jelas dari Kalamullah dan as-Sunnah yang terang benderang...
No comments:
Post a Comment