Kelembutan Sunnah Dalam Bermu’amalah Terhadap Pemimpin
http://an-nawawi.blogspot.com/
Islam adalah sebuah agama yang telah lengkap lagi menyeluruh meliputi setiap persoalan kehidupan alam manusia. Ini termasuklah kepada urusan bermu’amalah terhadap para pemimpin.
Dalam perkara ini, Islam amat memandang tinggi kedudukan seseorang pemimpin bersesuaian dengan tugas dan beratnya tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin itu sendiri. Di dalam sebuah hadis disebutkan bahawa: “Para penguasa adalah naungan Allah di muka bumi. Sesiapa yang memuliakan pemimpin, Allah akan memuliakannya. Sesiapa yang menghinakan pemimpin, Allah akan menghinakan dia.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)
Imam al-Qurthubi menukilkan di dalam tafsirnya bahawa: “Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mana mereka masih menghormati pemimpin dan para ulama. Apabila mereka memuliakan dua golongan ini, Allah akan memperbaiki dunia dan akhirat mereka. Apabila mereka merendahkannya, bererti mereka telah menghancurkan dunia dan akhirat mereka sendiri.”
Namun sayangnya, pada masa ini banyak sekali umat Islam yang melupakan adab di dalam bermu’amalah terhadap pemimpin. Mereka memiliki sikap yang cepat emosi dan mudah melenting hanya disebabkan oleh beberapa kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin. Dalam perkara ini, Syaikh Dr. Khalid Ali al-Anbariy hafizahullah berkata: “Rasulullah SAW telah mewajibkan ke atas umat ini supaya menghormati dan memuliakan para pemimpin. Pada waktu yang sama, baginda melarang mencaci mereka dan menyebut kekurangan serta kelemahan mereka kerana ianya hanya akan menyebabkan kebencian rakyat kepada mereka bahkan juga akan membawa kepada kejahatan, kerosakan, kederhakaan, dan permusuhan.”
Sekiranya para pemimpin ada yang melakukan kesalahan atau terjebak ke dalam perbuatan maksiat, Islam juga telah menyediakan sebuah garis panduan yang begitu indah bagi tujuan menasihati mereka kerana para pemimpin adalah manusia biasa seperti manusia-manusia yang lainnya juga yang tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang hendak menasihati pemimpin, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan, akan tetapi hendaklah dia memegang tangannya, kemudian bersendirian dengannya. Apabila pemimpin itu mahu menerima nasihat, maka itulah yang diinginkan. Apabila tidak, sesungguhnya dia (yang menasihati) telah menunaikan kewajibannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Abi Ashim)
Imam asy-Syaukani RH berkata: “Mereka yang menyedari berkenaan kesalahan pemimpin, hendaklah dia berusaha menasihatinya tanpa menyebarkannya di hadapan orang ramai (khalayak umum). Tetapi hendaklah dia berbincang secara empat mata di dalam rangka menasihatinya, tidak merendahkan atau menjatuhkan maruah dan martabatnya, serta tidak memperlekehkannya sebagaimana yang terdapat di dalam hadis.”
Telah tercatat di dalam sejarah di era para sahabat berkenaan kekejaman seorang gabernor di bawah pemerintahan Khalifah Malik bin Marwan yang bernama Hajjaj bin Yusuf as-Tsaqofi. Di mana dia (Hajjaj) telah banyak membunuh jiwa, sehingga sahabat yang mulia Abdullah bin Zubair RA terbunuh. Tetapi, bagaimanakah Sikap para sahabat yang lain pada ketika itu, adakah mereka bertindak mengumpulkan kekuatan untuk memberontak? Demi Allah, tidak sama sekali, bahkan mereka tetap menganjurkan untuk mendengar dan taat. Zubair bin Adiy berkata: “Kami mendatangi Anas bin Malik mengeluhkan perihal Hajjaj. Anas menjawab: “Bersabarlah, kerana tidaklah datang sebuah zaman kecuali yang setelahnya akan lebih buruk sehingga kamu berjumpa dengan Tuhan kamu, aku mendengar ini dari Nabi kamu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Begitu juga dengan kisah Musa dan Harun ‘alaihimus Salam ketika diperintahkan mendakwahi Fir’aun, seorang raja yang zalim lagi kafir, Allah SWT berfirman: “Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut.” (Surah Thaha, 20: 43-44)
Selain menasihati dan membimbing dengan cara yang disunnahkan, agama kita juga meminta supaya sentiasa mendoakan kebaikan buat para pemimpin. Abu Utsman Said bin Ismail berkata: “Nasihatilah penguasa, doakanlah kebaikan bagi mereka dengan ucapan, perbuatan dan hukum. Kerana apabila mereka baik, rakyat akan mendapat kebaikannya. Janganlah kamu mendoakan keburukkan dan laknat bagi penguasa, kerana keburukkan mereka akan bertambah dan bertambah pula musibah bagi umat Islam. Doakanlah mereka supaya bertaubat dan meninggalkan keburukkan sehingga musibah hilang dari kaum muslimin.”
Fudhail bin Iyadh berkata: “Sekiranya aku mempunyai doa yang mustajab pasti aku gunakannya untuk mendoakan pemimpin.” (Syarhus Sunnah) Imam al-Barbahari berkata: “Apabila kamu melihat orang yang mendoakan keburukan bagi pemimpin, maka ketahuilah bahawa dia seorang pengikut hawa nafsu. Apabila kamu melihat orang yang mendoakan kebaikan bagi pemimpin, maka dia adalah pengikut sunnah, insya-Allah.” (Syarhus Sunnah)
Dengan ini, telah jelaslah beberapa adab dan asas utama di dalam bermu’amalah terhadap pemimpin. Maka dengan itu, hendaklah kita mengikutinya dengan baik. Kerana setiap apa yang datang daripada sunnah itu adalah kebaikan sekaligus merupakan hukum Allah yang wajib kita patuhi biar pun kita masih tidak mampu merungkainya.
Manakala, bagi pemimpin yang telah diberikan amanah oleh Allah SWT untuk memimpin rakyatnya, hendaklah dia juga sentiasa berusaha mentaati Allah dan menjalankan amanahnya sebagai seorang pemimpin yang baik. Allah SWT berfirman yang maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah al-Hajj, 22: 41)
Juga firman-Nya: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Surah Shad, 38: 26)
Sebagai mengakhiri tulisan ini, kita perhatikan perkataan Syaikh al-Albani rahimahullah sebagai renungan: “... Cara menghilangkan kezaliman yang dilakukan oleh para pemimpin yang satu kulit dan satu bahasa dengan kita, hendaklah umat Islam bertaubat kepada Allah, memurnikan aqidah, dan mendidik diri serta keluarga mereka dengan pendidikan Islam secara benar. Perkara tersebut adalah sebagai usaha yang berpandukan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehinggalah mereka sendiri yang mengubah keadaan yang ada pada diri-diri mereka.” (Surah ar-Ra’d, 7: 11)
Juga firman Allah: “Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan.” (Surah al-An’am, 6: 129) Imam Ibnu Abil Izz al-Hanafi berkata: “(Dengan ini) apabila rakyat ingin selamat dari kezaliman para pemimpin mereka, hendaklah mereka meninggalkan kezaliman juga (iaitu dengan mentaati Allah dalam apa jua keadaan).” (Tahzib Syarh ath-Thahawiyah)
No comments:
Post a Comment