18PX: Professor -professor tidak dibenarkan sama sekali membaca dan mengulas tanpa bimbingan Budak Sekolah Tingkatan 1 - 3.
Dahulu Pulau Pinang adalah dibawah kekuasaan Negeri Kedah. Kedatangan Francis Light hanya untuk menaungi dan memajukan Pulau Pinang. British hanya ingin melabur untuk membuat pelabuhan supaya rakyat Pulau Pinang ada peluang pekerjaan. British tidak ingin dan tidak pernah berniat menjajah. British melihat Sultan Kedah tidak mampu memerintah dan tidak mampu mempertahankan diri serta negeri dari kekuasaan Siam.
Francis Light patut dinobatkan sebagai Bapa Kemajuan Pulau Pinang.
Kita patut berbangga kerana adanya Rakyat British seperti Francis Light yang sanggup berkorban masa dan wang ringgit untuk memajukan orang Melayu.
Jika tidak sudah pasti pemimpin agung Melayu seperti Tunku Abd Rahman dan Dr Mahathir Mohammad tidak dilahirkan.
Ini dipetik sahaja bukan karangan @ rekaan empunya Blog dari Laman Web http://notasejarah.blogspot.com/2007/04/pulau-pinang-diduduki-dengan-tipu.html
Ini bukan belajar sejarah peringkat Profesor, ini hanya pelajar Sejarah Peringkat Sekolah Menengah Rendah tidak sesuai untuk Majlis Professor apatah lagi Professor - Professor yang menggelar diri Pakar Sejarah Tanah Jawi.
FRANCIS LIGHT menduduki Pulau Pinang secara haram. Demikianlah antara fakta sejarah pulau digelar ‘Pulau Mutiara’ yang mungkin kurang diketahui masyarakat ketika ini.
Umumnya ramai pihak mungkin mengetahui British adalah pihak yang bertanggungjawab memajukan Pulau Pinang dengan Francis Light sebagai individu asing yang memikul tugas itu.
Bagaimanapun, di sebalik nama lelaki Inggeris itu, masyarakat mungkin tidak mengetahui yang sejarah pembukaan Pulau Pinang dipenuhi pelbagai polemik, drama tipu-helah, muslihat dan peperangan antara British dengan Kedah.
Sebelum abad ke-18, Pulau Pinang sebenarnya terletak di bawah jajahan Kedah; sehinggalah ke penghujung abad berkenaan, tipu muslihat Francis Light menyebabkan Pulau Pinang terpaksa diserahkan kepada British.
Beginilah antara cerita sejarah itu:
Sebaik mendengar maklum balas pihak British, Sultan Abdullah teramat murka. Berhari-hari lamanya hati Sultan Abdullah panas memikirkan yang pihak British melalui Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) mungkir janji.
British tidak akan membantu negeri naungannya iaitu Kedah mempertahankan serangan daripada Siam. Selepas Siam berjaya menakluki Patani pada 1786, kini pihak itu sudah mengutuskan ancaman untuk memerangi Kedah pula.
SHTI tidak akan menghantar bantuan ketenteraan kepada Kedah seperti dijanjikan menerusi ‘Perjanjian Inggeris-Kedah 1786’ dan tindakan itu jelas menunjukkan mereka memungkiri perjanjian yang dibuat antara baginda dengan wakil SHTI, Francis Light.
Sultan Abdullah semakin geram dan berasa tertipu dengan muslihat Francis Light. Tanpa pengetahuannya, lelaki Inggeris itu sebenarnya berunding dan membuat Perjanjian Inggeris-Kedah 1786 secara peribadi dan tanpa persetujuan SHTI.
SHTI mengatakan yang mereka tidak menghantar Francis Light untuk membuat perjanjian itu, justeru mereka enggan mematuhi syarat perjanjian berkenaan antaranya membantu Kedah mempertahankan serangan musuh termasuk Siam.
Dua lagi syarat lain perjanjian itu adalah SHTI akan membayar sebanyak 30,000 dolar Sepanyol setahun kepada Sultan Kedah dan tidak boleh melindungi musuh Kedah. Menyangka SHTI bersetuju dengan perjanjian itu, Kedah menyerahkan Pulau Pinang kepada British.
Bagaimanapun, ketika Siam mengancam Kedah, baginda mula menuntut janji tetapi SHTI enggan menghantar bantuan ketenteraan dengan alasan mereka tidak terbabit dalam perjanjian antara dirinya dan Francis Light.
Sultan Abdullah terkejut dan mula menyedari yang British cuba bermain muslihat. Baginda mula sedar ada penipuan dan sandiwara dimainkan Francis Light. Kesal sekali baginda menyerahkan Pulau Pinang kepada lelaki Inggeris itu.
Pihak British hanya pandai ‘menanam tebu di tepi bibir’, mereka bermanis muka ketika berunding perjanjian tetapi mula memungkiri janji sebaik Pulau Pinang sudah mereka jadikan pangkalan.
Perasaan kesal mula membaluti perasaan Sultan Abdullah. Pada mulanya baginda menawarkan Pulau Pinang kepada British sebagai ganjaran untuk membantu Kedah menghadapi ancaman pihak asing terutama Siam.
Sudah lama Kedah terkenal sebagai kuasa Maritim di Kepulauan Melayu. Sejak abad ke-16 lagi, dasar buka pintu yang diamalkan Kedah menyebabkan kapal dagang dari seluruh dunia singgah di Kuala Kedah yang menjadi pelabuhan entrepot.
Bagaimanapun, untuk mengekalkan kedaulatan dan kemakmuran Kedah bukanlah suatu perkara mudah kerana pihaknya sentiasa menghadapi penentangan terutama dari Siam yang mahukan Kedah membayar bunga emas, wang dan tenaga manusia kepada negara itu. Siam menganggap Kedah adalah negeri jajahan mereka.
Sultan Abdullah teringat lagi, ketika itulah baginda mula memikirkan idea memohon pertolongan British dan sanggup menyerahkan Pulau Pinang jika SHTI dapat menghulurkan bantuan ketenteraan kepada mereka apabila diserang.
British pula melihat tawaran menduduki Pulau Pinang itu umpama ‘pucuk dicita ulam mendatang’ lantaran mereka sememangnya sedang mencari tapak untuk dijadikan pangkalan di Kepulauan Melayu ketika itu.
Pangkalan itu perlu bagi dijadikan markas ketenteraan untuk mereka mempertahankan pusat penempatan SHTI di India daripada serangan Perancis. Lokasi Pulau Pinang juga amat strategik untuk dijadikan pelabuhan kerana terletak di tengah laluan perdagangan antara Timur dengan Barat.
SHTI ketika itu juga menjalankan perdagangan dengan China; SHTI memperoleh teh dari China dan membekalkan emas, perak, bijih timah dan lada hitam kepada negara itu. Pulau Pinang dapat dijadikan pusat persinggahan pelayaran selain pusat pengumpulan emas, perak, emas dan lada hitam yang sememangnya banyak terdapat di Kepulauan Melayu.
Justeru, tawaran Sultan Abdullah itu sukar ditolak. Tetapi pada masa sama, SHTI ingin menjaga kepentingan perdagangan mereka dengan Siam kerana Siam menganggap Kedah adalah jajahan mereka.
Lalu Francis Light mula menjalankan muslihat dan menandatangani Perjanjian Inggeris-Kedah 1786 secara peribadi dan penipuan itu menyebabkan Sultan Abdullah kini semakin diasak marah.
Sultan Abdullah sepatutnya sedar yang Francis Light adalah lelaki yang ‘lidah bercabang’. Ini bukan kali pertama lelaki asing itu memungkiri janji. Francis Light jugalah yang mewakili Firma Jourdain Sulliwan and de Souza ketika berunding dengan Sultan Muhammad Jiwa pada 1771.
Sultan Muhammad Jiwa ketika itu meminta bantuan ketenteraan firma berkenaan untuk menentang Bugis dan satu perjanjian ditandatangani dengan firma berkenaan dibenarkan berniaga di Kuala Kedah.
Bagaimanapun, perjanjian itu akhirnya dibatalkan apabila pihak diwakili Francis Light itu enggan memberikan bantuan ketenteraan bagi menyerang Bugis di Selangor. Dan kini, sejarah penipuan itu berulang kembali malah Sultan Abdullah sudah menyerahkan sebuah pulau kepada Francis Light.
Francis Light enggan melepaskan Pulau Pinang sebaliknya hanya mahu menawarkan ganti rugi, begitu maklum balas yang dikhabarkan kepada baginda apabila meminta British keluar dari pulau berkenaan selepas mereka memungkiri janji.
Sultan Abdullah semakin berang, baginda enggan menerima ganti rugi, dia mahukan British keluar dari pulau berkenaan.
“Kita perangi mereka!” Mungkin begitulah laungan Sultan Abdullah berserta semangat ingin menyerang dan merampas kembali Pulau Pinang yang diceroboh British.
> Kedah terpedaya selepas serah Province Wellesly
PADA 1791, Sultan Abdullah mengumpul bala tenteranya di Seberang Perai bersama dorongan semangat untuk merampas kembali Pulau Pinang yang diduduki British secara haram dan tipu helah.
Selain angkatan perang Kedah, Sultan Abdullah turut meminta bantuan ketenteraan dari Riau, Siak dan Selangor dan mereka akan menyeberang laut menuju Pulau Pinang bagi menawan kembali pulau itu.
Bagaimanapun, kehadiran kapal perang yang berlabuh di pinggir pantai Seberang Perai mula disedari Francis Light. Lelaki itu sedar percaturan Sultan Abdullah untuk menyerang dan merampas kembali Pulau Pinang.
Francis Light segera meminta bantuan angkatan tentera laut British untuk menyerang kubu Sultan Abdullah di Seberang Perai. Kemudian, peperangan meletus antara angkatan perang Sultan Abdullah dengan angkatan ketenteraan Francis Light.
Bagaimanapun, penentangan hebat bagi mengusir penjajah yang diberikan tentera Sultan Abdullah itu tidak berhasil dan Kedah kalah kepada tentera Francis Light dalam peperangan berkenaan.
Kekalahan itu menyebabkan Sultan Abdullah terpaksa menandatangani ‘Perjanjian Persahabatan dan Keamanan Inggeris-Kedah’ dengan berat hati pada 1 Mei 1791. Melalui perjanjian itu, Kedah terpaksa mengakui pendudukan British di Pulau Pinang dan balasannya, SHTI akan membayar 6,000 dolar Sepanyol setiap tahun kepada Sultan Kedah.
Francis Light terus menjadi pentadbir penempatan British di Pulau Pinang sehinggalah kematiannya akibat penyakit malaria pada 21 Oktober 1794.
Melewati waktu, kesilapan sama dilakukan Kedah iaitu mempercayai British sehingga tergadai Pulau Pinang masih berulang untuk kali ketiga. Bagaimanapun, kali ini wilayah Seberang Perai pula yang menjadi taruhan.
Kisahnya bermula kira-kira sembilan tahun selepas kekalahan Kedah terhadap British di Pulau Pinang. Sejak serangan Sultan Abdullah dulu, SHTI mula memikirkan langkah keselamatan mereka di pulau itu.
British berpendapat yang mereka memerlukan penempatan di tanah besar sebagai benteng pertahanan awal daripada serangan pihak musuh. Tanpa penempatan di tanah besar, mungkin sukar untuk mereka memantau serangan musuh dari kawasan pulau saja.
Lalu mereka mula merancang untuk menduduki Seberang Perai pula. Tambahan pula, kawasan Seberang Perai yang subur, sesuai untuk bercucuk tanam bagi menampung keperluan makanan anggota mereka di Pulau Pinang.
Sekali lagi SHTI mengambil kesempatan terhadap Kedah yang masih memerlukan bantuan ketenteraan daripada serangan Siam. Kali ini, ‘Perjanjian Persahabatan dan Perikatan 1800’ dimeterai antara Sultan Dziauddin dan Gabenor Pulau Pinang pertama, George Leith pada Jun 1800.
Antara kandungan perjanjian berkenaan adalah Kedah akan menyerahkan Seberang Perai kepada SHTI dan SHTI akan membayar 10,000 dolar Sepanyol setahun (bayaran pendudukan Pulau Pinang dan Seberang Perai) kepada Kedah bersama janji bantuan ketenteraan.
Sejarah kembali berulang apabila seperti perjanjian sebelumnya, SHTI tidak menghulurkan sebarang bantuan ketenteraan apabila Siam menyerang Kedah pada November 1821. Betapa rakyat Kedah berjuang habis-habisan bagi mempertahankan tanah air, akhirnya Kedah ditakluk Siam juga.
Sebaliknya, British memeterai ‘Perjanjian Burney 1826’ dengan Raja Siam iaitu Rama III di Bangkok pada Jun 1826 yang antara lain British mengiktiraf ketuanan Siam terhadap Kedah dan Siam mengiktiraf pendudukan British di Pulau Pinang dan Seberang Perai yang dikenali ‘Province Wellesly’ ketika itu.
Bagaimanapun, hasrat British untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pelabuhan entreport tidak tercapai lokasinya yang jauh ke selat utara menyebabkan kapal pedagang lebih berminat untuk berlabuh di Betawi, Riau dan Lingga.
Pulau Pinang kemudian menjadi antara pusat pentadbiran British di Tanah Melayu apabila digabungkan dengan Melaka dan Singapura sebagai Negeri-negeri Selat pada 1826.
No comments:
Post a Comment