Friday, September 4, 2009

HUDUD & IMAN

Menjadi orang beriman bukannya mudah. Bukan sekadar percaya kepada Rukun Islam dan Rukun Iman. Menjadi beriman perlukan mujahadah yang tinggi. Perlukan pengiaan dengan sebenar dari perbuatan, perkataan dan hati.
Mengakui segala suruhan dan saranan Allah, serta melaksanakannya tanpa ada keraguan, penyesalan dan sanggup menempuh apa rintangan yang ada.
Apakah Umat dan Pemimpun Melayu yang berkuasa benar beriman? Itu hanya Allah yang mengetahuinya. Kerana dia yang Maha Mengetahui. Tetapi syarat pemerintahan negara antaranya ialah melaksanakan hukuman Allah. Tidak berhukum dengan hukuman Allah, tercatit amaran yang jelas di dalam Al Quran.
Mungkin kita mampu bertolak ansur kerana proses penjajahan yang lama telah memadamkan Hukum Hudud itu sendiri. Biarpun sebenarnya Hukum Hudud telah pernah diamalkan di Tanah Air ini sebelum kedatangan British. Begitu pandainya Bristish sehingga yang menentangnya sekarang adalah orang yang mengakui beragama Islam dan lahir dalam masyarakat Islam. Yang menjadi lebih huru hara lagi, ada Mufti dan Kadi yang jelas menentang hukuman Hudud biarpun nampak berselindung disebalik kata - kata.
Hukum Hudud digambarkan sebagai satu hukuman yang kejam dan zalim. Biarpun kajian menunjukkan tiada hukuman ini yang kejam dan zalim. Untuk menghukum pun bukannya mudah, perlukan saksi dan nyata kesalahannya. Jika dibandingkan dengan Hukum Sivil, ramai yang teraniaya kerana hukuman dijatuhkan biarpun bukti tidak mencukupi dan ketidakadilan hakim amat berleluasa.
Allah telah menguji kita dengan kes di Arak di Pahang. Hakim yang berani dan benar sanggup menjatuhkan hukuman di atas kuasa yang diamanahkan dan peruntukkan yang ada. Tahniah dan didoakan semoga Allah sentiasa melindunginya. Biarpun selepas itu menjadi kontroversi. Di sini saya melihat pimpinan politik tidak boleh diharapkan untuk menegakkan agama Allah. Permainan politik jelas membelenggu dan megikat mereka. UMNO DAN PKR TIDAK BERANI MENGELUARKAN KENYATAAN TERBUKA. UMNO ADA YANG MENENTANG, PKR BERDIAM DIRI. PAS ADA JUGA YANG BERMAIN TARIK TALI. Jelaslah pengaruh undi lebih penting dari mengagungkan agama Allah. Benarlah kata bijak pandai, politik hanya untuk orang yang mencari peluang diri.
Sebagai orang Islam dan beriman, sepatutnya bukan parti politik yang membelenggu kita, tetapi Iman dan Islam.
Peristiwa ini membabitkan pembongkaran keadilan Islam, maka terbukalah, sebat secara Islam jauh lebih ringan jika dibandingkan dengan sebat cara Sivil. Kaedah yang ada juga dibaca dan dilihat oleh semua rakyat. Di sini kita diberi ilmu dan disuruh buat pilihan. Samada kita buta hati ataupun tidak?
Oleh itu sebagai umat Islam, kita mungkin tidak mampu menegakkan hukum Allah pada hari ini, tetapi sekurang - kurangnya ke arah menegakkan hukum Allah. Bagi orang Islam yang tidak beriman, hukum Kafir yang tercatit di dalam Al Quran bukanlah perkara yang membebankan tetapi tidak bagi orang yang beriman.
Di bulan Ramadhan ini, sepatutnya kita berdoa moga Allah memberi keimanan yang jitu, jauh dari sifat munafik, diberi kekuatan sanggup bergadai hatta nyawa untuk Agama Allah. Ganjaran yang sebenarnya di Akhirat, bukannya di dunia.
Berdoalah kita semua, satu hari nanti Hukum Allah akan mampu dilaksanakan kembali di Tanah Air ini. Insya'allah.

No comments: