Monday, August 31, 2009

MERDEKA DARI KOMUNIS?

Rasanya masih belum terlewat untuk berbicara tentang merdeka. Hari ini tarikh kemerdekaan yang entah ke berapa, aku sendiri pun tak ingat. Biasanya ada juga tertulis di banner yang digantung. Malangnya pada tahun ini aku tidak melihat banner - banner bergantungan seperti biasa. Dan tiada kibaran bendera, cuma sekali - sekala baru terlihat di pejabat- pejabat kerajaan. Jadi aku sendiri pun tak berapa ingat yang hari ini hari Merdeka.
Mungkin semangat Merdeka telah hilang dari UMNO. Sebab bagi ku Merdekanya kita sebenarnya hanya UMNO dan sekutunya sahaja yang merdeka. Sambutan bukannya untuk rakyat jelata tetapi dihidangkan sajian sahaja. Banyak projek yang dilaburkan kepada ahli UMNO semasa hari Merdeka. Di malam sebelum pula, anak - anak muda UMNO dan sekutunya berpesta sakan menjerit melaung MERDEKA sambil berpelukan dengan gadis di bawah umur, dan setin Carlsberg atau Shandy Jolly sebagai penghilang dahaga. MERDEKA yang dilaungkan juga tidak mempunyai apa - apa erti dan makna. Jika ditanya kepada mereka nescaya mereka juga tidak memahaminya.
Inilah MERDEKA yang dicipta dari slogan. Malangnya tanahairku dan rakyat jelatanya.
Jika kita melihat negara lain, mereka begitu berbangga dengan merdeka kerana mereka faham tentang Sejarah. Sedangkan rakyat kita buta sejarah. Sejarah yang diajar hanya penuh dengan penipuan dan propaganda. Akhirnya generasi baru memahami MERDEKA dari sudut yang salah.
Tidak hairan jika anak muda hari ini berkata KITA MERDEKA DARI KOMUNIS. Dan berbangga denga Penjajah kita iaitu BRITISH. Disanjung bagai nak rak. Dipuja pasukan bole mereka dan sanggup berbelanja ratusan mungkin ribuan RM untuk bergaya dengan pakaian, topi. Itulah Merdeka kita. Kita lupa itulah bangsa yang membunuh tuk nenek moyang kita. Yang mencampuri agama kita sehingga generasi kita lupa dan keliru.
Hari ini kita ada TUGU Negara. Lambang kepahlawanan bangsa. Malangnya jika diteliti, kita dapati, wajah mereka wajah PENJAJAH. Bukannya wajah anak bangsa kita. Itulah erti MERDEKA, bertelenggu memperingati askar British yang terkorban untuk memastikan imperialisme di Tanah Melayu.
MERDEKA kita penuh kekeliruan, diceritakan Tunku ke London, berbincang, tawar menawar dan akhirnya diberi KEMERDEKAAN. Mudah dan senang. Hebatnya Tunku, mematahkan dasar dan jiwa penjajah. Sehebat Getaran Jiwa melunakkan hati Kumpulan Ma'unah.
Semakin aku dewasa, semakin ku faham, ini hanya rekaan semata - mata. Telah lebih 50 tahun, Malaysia masih dibelenggu dengan sistem Monarki, Kapitalis, Derajat, penindasan, kezaliman. Masalah kaum masih belum dapat diselesaikan. Ekonomi rakyat masih belum dibanggakan. Sistem pendidikan masih bercelaru. Hak orang miskin dan susah masih belum ada keinginan untuk diselesaikan. Islam masih ditakuk yang menyedihkan. Pelaksanaanya dipolitikkan.
Inilah MERDEKA bagi rakyat Malaysia.
Dan tidak hairan, satu generasi akan datang akan bermadah, sebenarnya kita MERDEKA DARI KOMUNIS. Tidak mustahilkan. MALAYSIA BOLEH.

No comments: