Wednesday, July 15, 2009

MASA YANG SINGKAT.

Kehidupan jika dinilai satu persatu apa yang kita tempuhi setiap hari, sebenarnya tidak bermakna. Hanya satu permainan. Hanya rencah hidup dan banyak perkara yang remeh temeh. Tiada manfaat. Tetapi tanpa rencah ini, hidup kita tiada yang menarik. Tiadalah kehidupan.
Jika kita terlalu menumpukan kepada kerjaya. Dan kita yakin kerjayalah yang akan memberikan pulangan terbaik untuk masa depan dan kewangan. Apalah nilai hidup ini? Dan ramai manusia yang gagal dalam hidup tetapi berjaya di dalam kerjaya. Tetapi satu hari nanti, khidmat beliau tidak diperlukan, terpaksa bersara atau pencen. Tiada kuasa dan kenalan yang mendekati lagi. Disaat itu kita lihat berjalan keseorangan. Ramai contoh seperti ini yang dapat kita lihat di sekeliling kita.
Hidup akan disulami dengan asam garam, seperti kesusahan, keperitan, kesedihan, kepiluan dan kesakitan. Umpama di alam rumah tangga perlukan sedikit pertengkaran dan perselisihan pendapat untuk menceriakan suasana. Jika suami isteri hanya beraman - damai, rasanya agak janggal. Tanpa keperitan di dalam kehidupan, tiadalah pengalaman dan kesakitan. Hidup hanya menjadi satu warna, tiada hitam putih.
Jika si bapa tidak pernah membesarkan anak, tidak merasa perit - jerih membesarkan anak sendiri, maka tiadalah cinta kasih sayang yang mendalam. Ingatan kepada anak tersebut juga sama seperti ingatan kepada rakan. Tidak mustahil, anak juga tiada perasaan kasih sayang kepada si bapa tadi.
Tanpa asam garam kehidupan, sebenarnya tiada kehidupan. Tiada insan yang kekal, tiada insan yang kuat sepanjang masa. Kita akan kembali, itulah keyakinan yang mesti ada. Cuma masa yang menentukan.
Jadikan masa yang singkat untuk perbuat kebaikan dasar kebajikan. Sebanyak mana harta yang ada, cuma diberi kepada orang lain sahaja. Jika dibawa ke kubur pun tiada manfaat.
Masa yang ada pergunakanlah untuk kebaikan semua manusia dan binatang. Jangan sampai kita tidak dinilai oleh dunia. Samada ada atau tiada, sama sahaja.

No comments: