Memandangkan rakyat kita banyak yang keliru sejarah, cuba baca Sejarah ini.
Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) telah ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Negeri Perak. Parti ini merupakan parti politik Melayu yang pertama ditubuhkan selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
Matlamat utama penubuhan PKMM ialah untuk menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris. PKMM juga berusaha mengatasi masalah orang Melayu di segi pelajaran, sosial dan ekonomi serta kebebasan mencetak dan bersuara.
Pada 30 November 1945, PKMM telah mengeluarkan lapan resolusi yang dianggap oleh pihak kerajaan sebagai diinspirasikan oleh rancangan 'Sembilan Perkara' Parti Komunis Malaya.
PKMM diasaskan oleh Mokhtaruddin Lasso dan Ahmad Boestamam. Kedua-duanya memainkan peranan dalam pucuk pimpinan awal parti itu:
Yang Dipertua: Mokhtaruddin Lasso
Naib Yang Dipertua - Dr. Burhanuddin Helmi
Setiausaha - Dahari Ali
Bendahari - Arshad Ashaari
Ahli Jawatankuasa - Ahmad Boestamam
Sebulan selepas kelahirannya, PKMM telah menubuhkan beberapa cawangan di beberapa buah negeri iaitu di Pulau Pinang, Perlis, Selangor, Melaka dan Singapura. PKMM menyebarkan pengaruhnya melalui akhbar-akhbar hariannya iaitu Suara Rakyat, Pelita Malaya dan Semboyan Baharu dan terbitan bulanan iaitu majalah Berjuang dan Voice of the People.
PKMM mempunyai dua cawangan pemuda dan pemudi iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam, dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang dipimpin oleh Shamsiah Fakeh. Bagaimanapun Ahmad Boestamam telah dapat merenggangkan API dari PKMM di bawah Mokhtaruddin Lasso dan pengaruh komunisme serta mengeluarkan manifesto yang berasingan dari PKMM.
Bagaimanapun beberapa bulan kemudian apabila Kesatuan Melayu Muda (KMM) bergabung dengan PKMM, Dr Burhanuddin Helmi telah mengambil alih pucuk pimpinan sebagai presidennya yang kedua. Dalam bulan Disember 1947, PKMM bertukar lagi pucuk pimpinan dan kali ini disandang oleh Ishak Haji Muhammad sebagai presidennya yang ketiga. Dengan pertukaran pucuk-pucuk pimpinan itu PKMM tidak lagi condong kepada komunisme sebaliknya bersifat nasionalisme.
Dr Burhanuddin membawa PKMM ke arah mewujudkan Melayu Raya iaitu satu gagasan Kesatuan Malaya-Indonesia yang merupakan salah satu perjuangan utama PKMM. Pada dasarnya perjuangan PKMM adalah didorong oleh keazaman untuk mendapatkan kemerdekaan penuh dari Britain. PKMM lebih cenderung bagi Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan pada 1949.
Perjuangan PKMM dianggap oleh Inggeris sebagai menentang penjajah dan dengan itu beberapa orang pemimpinnya telah ditangkap serta dipenjarakan. Akhirnya pada 18 Jun 1948[4], PKMM (dan beberapa parti lain) telah diharamkan dan darurat diisytiharkan oleh pihak berkuasa British.
No comments:
Post a Comment