Pagi tadi sempat bersembang bersama kawan, seorang biznesmen. Datang dengan penuh kekalutan, maklumlah orang meniaga. Setiap hari hanya mencongak untung. Jadi banyaklah perasaannya yang diluahkan. Saya pun terpaksa rela mendengarnya. Nanti dikatakan sombong pulak.Antara luahannya, kononnya dia seorang biznesmen yang jujur dan mengamalkan rasuah. Tetapi setahu dan seingat saya, banyak juga dia merasuahkan orang untuk mendapat dan melancarkan projeknya. Mengeluhlah dia kononnya, mengapa orang yang mengamalkan rasuah mendapat rezeki yang banyak di sisi Allah, sedangkan dia kononnya yang jujur sukar mendapat projek.
Saya tak berminat nak komen tentang sikap sahabat seorang ini, tetapi beginilah sifat kita manusia. Apabila disempitkan sedikit hidup, maka banyaklah mengeluh. Sedangkan kita lupa nikmat yang telah dikurniakan. Dosa - dosa kita semasa dianugerahkan Allah. Kita lalai mengingati Allah. Kita lupa nak bersolat jemaah, kita lupa nak berzikir, kita lupa nak bersedekah. Itulah manusia yang penuh dengan kelupaan.
Kita cemburu melihat manusia lain menjadi kaya tetapi engkar kepada Allah. Sedangkan kita tidak berbuat apa - apa untuk menentang kemungkaran. Kita takut rezeki tiada kerana kuasa yang ada pada penyeleweng. Kita sanggup bersubahat dengan mereka, janji kita mendapatkan sedikit habuan. Kita lupa rezeki sebenar hanya datang dari Allah, Tuhan pemilik alam.
Kita takut kocek kita kosong, tetapi kita tidak takut iman kita kosong. Kita tidak menjaga iman kerana takut tidak makan. Kita sanggup hilang iman kerana takut kantung kita kosong. Kita sanggup bersubahat dengan perasuah, penyeleweng semata - mata menjaga periuk nasi.
Kita malu nak perkatakan yang benar di depan orang yang zalim. Kita malu nak beribadat di depan ahli maksiat, takut digelar nak tunjuk alim. Itulah kita yang sebenarnya.
Kadang - kadang saya terfikir, layakkah kita duduk sesaf dengan para sahabat, para ulama' dan para wali. Para syuhada', jauh sangat lagi.
Saya menyeru kepada diri dan pembaca, ubahlah pemikiran, bercakap kerana Allah, mengingati Allah selalu, yakinlah Allah bersama orang yang sabar dan benar. Yakinlah dengan janji Allah. Kesusahan yang sedikit ini akan dibalas dengan ganjaran yang besar.
Ingatlah, rezeki adalah hak milik mutlak Ilahi. Ada manusia yang diberi kemewahan untuk memudaratkannya. Ada insan yang diberi sedikit untuk diuji kesabarannya. Semuanya hanya hak milik Allah.
ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR.
No comments:
Post a Comment