Saturday, April 11, 2009

NABI NUH

Nabi Nuh, nama yang tidak asing bagi umat yang menganut agama samawi. Kisah banjir besar di zaman Nabi Nuh juga terdapat di dalam pelbagai versi bagi semua bangsa di dunia ini.
Zaman Nabi Nuh sekitar tahun 3650 SM, ianya berlaku di selatan Iraq. Mungkin berlaku di zaman Tamadun Mesopotamia (masih buat kajian lagi). Di dalam Al Quran ada mengisahkan tentang Nabi Nuh dan kesesatan kaumnya. Kesabaran Nabi Nuh tidak boleh dipertikaikan. Berdakwah di dalam tempoh yang lama walaupun tidak mendapat sambutan dari kalangan umatnya. "Dan sesungguhnya, Kami telah utuskan Nuh kepada kaumnya, maka dia tinggal bersama mereka selama seribu tahun kurang lima puluh tahun" (Al Ankabut, 14)
Kesungguhan Nabi Allah berdakwah, siang dan malam tanpa mengira penat dan lelah. Tanpa mendapat sebarang ganjaran dunia, dakwah disampaikan. Bagi kaumnya, Nabi Nuh adalah musuh. Berbagai tuduhan dilontarkan antaranya dikatakan gila, nak pangkat dan pelbagai tuduhan yang menyakitkan hati. Namun Nabi Nuh sabar menghadapinya sehinggalah beliau berdoa, "Nuh berkata, 'Ya Rabb, janganlah Engkau biarkan seorang pun di antara orang - orang kafir itu tinggal di muka bumi ini" (Nuh, 26).
Dipendekkan cerita, kaum Nuh pun dihapuskan dengan banjir besar.
Sesungguhnya dunia adalah milik orang beriman, maka tidaklah layak orang yang tidak beriman mendapatkannya setelah diberi peringatan.
Banyak pengajaran yang boleh diambil dari kisahnya. Kesungguhan berdakwah tanpa mengira penat, lelah, jemu dan upah. Nescaya sukar bagi kita. Tetapi itulah syarat mendapat ganjaran Ilahi. Jika kita ingin mendapatkan janji Allah, kita perlu berkorban. Jangan jadi seperti pendakwah kini yang tidak akan berdakwah tanpa upah. Para - para Nabi terdahulu tidak mendapat wang yang turun dari langit. Apatah lagi ke kita yang banyak dosa ini.
Sifat sabar baginda Nuh, selama 950 tahun dengan pengikut tidak sampai 100 orang. Dengan kerja siang malam, sehinggalah baginda merasakan tiada harapan untuk umatnya mahu berubah.
Keputusan Allah adalah penentu. Apabila Allah telah menjatuhkan hukumannya maka tiadalah yang bernilai, walaupun mempunyai berbillion ringgit, kita tidak mampu menghalang nyawa dari tercabut. Biarpun kita seorang Raja, Perdana Menteri, Ketua Polis, Ketua Hospital, Ketua Bomba sekiranya kita zalim, kita engkar, putusan Allah dan azabnya amat pedih.
Inilah kisah kaum Nuh, sekarang sedang mendapat siksaan mereka kerana tidak mempercayai kebenaran yang dibawa oleh Nabi Nuh dan zalim kepada diri sendiri. Andainya kita dibuka pintu hati nescaya kita takut untuk engkar kepada kebenaran. Tetapi dunia adalah tempat ujian, nescaya Allah tidak membukanya agar dapat dinilai siapakah yang terbaik di kalangan kita. Mungkin orang yang tidak dikenali hari ini adalah lebih mulia dari seorang Perdana Menteri dan Ketua Polis, Ketua SPRM, Ketua Hospital yang terpaksa menanggung beban azab di alam Barzah, alam Mahsyar dan alam Akhirat kerana kezaliman dan ketidakadilan mereka di dunia.
Hanya Allah yang lebih mengetahui dan moga kita dijauhi dari azab Allah.
Kepada para pejuang kebenaran dan keadilan, teruskan berdakwah walau apa halangan melintang kerana yakin kepada janji Allah menunggu.
Kepada para penzalim, ingatlah kisah para Nabi sepatutnya menjadi pengajaran. Tanpa mengira darjat, pangkat, kedudukan, tempat kembali sebenar bukannya di dunia fana' ini.

No comments: