Monday, March 16, 2009

PPSMI, ANGKAT MARTABAT BAHASA KITA


Saya rasa terpanggil untuk berbicara lagi berkaitan PPSMI. Biarpun demonstrasi dan segala bantahan dikemukakan, namun orang yang berkuasa masih buat bodoh sahaja. Seperti tiada apa - apa yang berlaku. Naif dan lembapnya mereka, tidak endah langsung perasaan majoriti orang Melayu dan Malaysia.
Mengapa susah sangat golongan ini hendak membuat keputusan, seolah - olah terikat kepada kepentingan diri bukannya kepentingan rakyat. Segala kajian dan hasil membuktikan kegagalan PPSMI.
Mungkin ada segolongan rakyat elit yang tidak mempercayai Bahasa Melayu boleh dijadikan bahasa ilmu. Tidak yakin kepada kemampuan bangsa sendiri atau istilahnya tidak mempercayai diri sendiri. Golongan seperti ini akan terikut - ikut dengan budaya orang lain dan memperlekehkan budaya sendiri.
Di Indonesia, terdapat pelbagai suku kaum yang menggunakan bahasa masing - masing. Tetapi mereka juga menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Sedangkan golongan Melayu di Indonesia hanyalah golongan minoriti. Hatta kita ketahui penduduk Jawa yang menjadi majoriti menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Sedangkan kita di Malaysia menggadaikannya untuk kepentingan individu tertentu.
Bahasa Melayu adalah bahasa yang telah digunakan di rantau ini beratus - ratus tahun. Kini bahasa ini boleh dituturkan lebih dari 250 juta manusia. Bahasa melambangkan bangsa kita. Walaupun kita seorang Melayu tetapi sekiranya kita berbahasa lain dan tidak mengamalkan budaya Melayu, apakah layak kita mengaku orang Melayu?
Di dalam dunia ini hanya ada satu parti politik yang kononnya mewakili dan mengaku pejuang kepada bangsa Melayu tetapi namanya sendiri pun menggunakan Bahasa Inggeris. Malu tersangatlah malu.
Belajar Sains dan Matematik bukannya bahasa yang penting tetapi kefahaman. Adalah lebih mudah mengajar di dalam bahasa yang difahami, kerana dengan bahasa tersebut kita berfikir. Adalah lebih mudah anak Melayu dan rakyat Malaysia memahami melalui bahasa perantaraannya bahasa Melayu dibandingkan dengan bahasa lain.
Adakah pelajar UK dan US lebih cemerlang Sains dan Matematik kerana mereka belajar di dalam bnahasa Inggeris. Kecemeralangarn mereka kerana mereka faham apa yang diajar. Cubalah bayangkan bagaimana gamaknya jika kerajaan mereka melaksanakan pembelajaran di dalam Bahasa Perancis atau Bahasa Arab. Nescaya gagal lah anak orang putih ini kerana tak faham apa yang diajar. Ilmu asasnya bukan dari mereka tetapi kerana banyaknya buku - buku ilmu diterjemahkan ke bahasa mereka.
Apakah orang Siam yang belajar bahasa Siam lebih bodoh Sains dan Matematik mereka. Jika dilihat secara kasar, di dalam kajian dan ciptaan mereka jauh mendahului kita.
Di Filipina, bahasa Inggeris digunakan, apakah mereka lebih pandai dari kita di dalam sains dan Matematik? Apa yang kita lihat, mereka jauh ketinggalan.
Amatlah malang sekiranya segelintir orang bodoh menjadikan rakyat sebagai bahan eksperimen mereka untuk mengaut keuntungan. Yang menjadi mangsa adalah rakyat sendiri.
Kita tidak pernah menentang Bahasa Inggeris, kita hanya menentang Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Dan kita mencadangkan untuk mengemaskan bahasa Inggeris, pengajarannya perlu dikemaskan dan diperbanyakkan subjek lagi. Tetapi orang berkepentingan ini dengan tujuan mengelirukan orang kampung terus mengatakan kita anti bahasa Inggeris. Begitu daifnya mereka berfikir dan menyalahkan orang lain.
Kemudian mereka mengugut rakyat dengan menggunakan kuasa polis dan ancaman. Inikah cara terbaik menyelesaikan permasalahan negara? Mungkin beginilah cara orang lemah mentadbir, bukan berdasarkan fakta tetapi kepentingan perut dan materialistik diutamakan.
Yang lebih malang lagi budaya mengampu terus diamalkan. Sang pengampu langsung tidak faham berbahasa Inggeris. Tetapi demi kepentingan perut mereaka sanggup mengiakan dan menyokong, sedangkan mereka sendiri tidak faham apa yang disokong.
Berfikir sejenak, apakah kita perlu menggadaikan bahasa hanya untuk segelintir orang yang berkepentingan? Lebih mudah kita singkirkan mereka, kita daulatkan bahasa Melayu, kita perjuangkan bahasa Melayu agar menjadi Bahasa Antarabangsa. Bukan dengan memperosokkannya di kampung - kampung sahaja.

No comments: