Showing posts with label KOMUNIS. Show all posts
Showing posts with label KOMUNIS. Show all posts

Thursday, September 8, 2011

AKU BUKAN KOMUNIS....





Gegak gempita alam Tanah Jawi menyambut 54 tahun merdeka. Merdeka dari siapa? Tiada siapa yang tahu. Ada kata merdeka dengan Komunis. Komunis mana dan apa itu komunis pun kita tak tahu. Yang kita tahu membaca skrip dan sejarah yang ditulis oleh pihak British. Sejarah yang bukan datang dari British adalah sejarah palsu. Siapa yang membacanya boleh dilucutkan warganegara @ ditahan dan soal siasat @ yg lebih malang ditahan Ikut Suka Aku.
Rasanya lebih separuh tidak tahu kita pernah dijajah British. Anak - anak muda hanya tahu British pandai main bolesepak dan mengajar kita main bolesepak. Moga satu hari kelab di Malaysia setaraf dengan MU @ Liverpool. Bagi bekas polis dan tentera, British adalah majikan yang perlu disanjung. Putih kata British putih, Hitam kata British hitamlah. Bagi golongan sejarawan, Sejarah dari British adalah mutlak, kajian yang lain hanya palsu dan dongengan.
Bila Mat Sabu berkata, Mat Indera adalah seorang pejuang merdeka, maka bergempitalah Sang Mamak yang keturunannya tidak pernah berjuang untuk tanahair berteriak, ITU KOMUNIS.
Baiklah sekiranya Mat Indera Komunis, bagaimana dengan Ibrahim Yaakob (anak Melayu pertama berbicara tentang Merdeka),Dr Burhanuddin Hilmi (anak Melayu pertama yang ada Phd), Ishak Muhamad, Ahmad Boestamam (Merdeka dengan Darah), dan ribuan lagi yang tidak mampu dituliskan di sini.
Apakah pejuang kemerdekaan hanya Onn, Tunku. Siapakah mereka? Bukankah mereka yang berkhidmat taat setia kepada Ratu Englang dan Union Jack. Onn Jaafar sendiri pernah memberi ucapan yang Tanah Melayu belum layak merdeka.
Bila anak - anak muda membongkar sejarah maka, ugutan dan tomahan. Jika Kerajaan benar - benar jujur, bincangkan secara terbuka. Adakan forum. Biarlah rakyat Tanah Jawi ini menentukan siapa yang pejuang atau tidak, bukannya hanya dari kaca mata British.
Mana pergi perjuangan Maharajalela, Tuk Bahaman, Mat Kilau, Hj Abd Rahman Limbung, Tuk Janggut, Rosli Dobi, Rentap, Yamtuan Antah?
Yang diagungkan sebagai pejuang kemerdekaan mesti dari parti UMNO, MCA dan MIC. Selain dari itu adalah KOMUNIS.
Jika sejarah ini tidak dibongkar hari ini, generasi ke hadapan akan terus menjadi bodoh sejarah dan tidak tahu membezakan mana yang benar mana yang salah? Siapa pejuang Siapa Penjajah.
Terima Kasih Mat Sabu, yang berani membuka mata kita.
Kepada anggota polis dan tentera janganlah terlalu emosi, Jika apa yang kita buat dahulu adalah salah, kerana itu adat peperangan. Bila berdamai, maka tutuplah buku. Jika ada yang terkorban, di pihak sana pun sama juga. Mungkin perjuangan mereka utuk tanahair dan bencikan penjajah tetapi perjuangan polis dan tentera untuk makan gaji. Itu sahaja. Moga Allah memberi keampunan kepada semua...Tegaklah kebenaran biarpun pahit....

Tuesday, September 6, 2011

MAT INDERA, NAMAMU KEMBALI MENGHARUM..

Tahniah kepada Abang Mat, ucapannya walaupun dianggap konfrontasi, namun mengukir kembali fakta - fakta yang berkaitan Mat Indera. Sejarah Mat Indera dibuka kembali. Tidak sia - sia pengorbanan beliau untuk tanahair. Selama ini Mat Indera dengan pelbagai tomahan bermula dari zaman penjajah hingga ke waris penjajah, perjuangan beliau demi tanahair tercinta akan terus terbongkar satu demi satu.
Siapa Mat Indera? Penjuang atau Pengkhianat? Ramai yang buta sejarah dan sejarah diputarbelitkan.
Kita dikenalkan dengan nama Dato' Onn, Tunku dan Tun Razak. dan merekalah yang disanjung dan diangkat menjadi pejuang kemerdekaan. Tetapi kita lupa, mereka bekerja dengan British, istilahnya makan gaji. Bermajikan British. Sudah pastilah mengikut arahan British.
Sama seperti kita mengagungkan karya Mamak Abdullah yang diangkat menjadi Bapa Pesuratan Melayu Moden, sedangkan beliau hanya penulis upahan Stamford Raffles. Sudahpastilah tulisan beliau hanya mengangkat pengupahnya dan menidakkan orang lain.
Tidak salah makan gaji atau bermajikan British untuk mencari makan. Tetapi yang salahnya bila sanggup membunuh anak bangsa sendiri dan menidakkan perjuangan orang lain. Mereka ini layak digelar Pengkhianat.
Sejarah Malaysia umpama cerita fantasi. British menjajah kita ratusan tahun namun tetap diangkat sebagai kawan bahkan disanjung umpama Bapa. Sedangkan pejuang - pejuang yang sanggup berkorban nyawa untuk tanahair tercinta dilabelkan Pengkhianat. Dan cara lebih mudah dinamakan Komunis. Maka ramai Melayu yang tak tahu apa - apa, yang lebih gemar melihat rancangan Akademi Fantasia dan Hiburan Joget Lambak ini mudah mengiakan sahaja. Kemudian diturunkan ke anak cucu mereka. Maka anak cucu ini lah pun mengiakan sahaja. Begitulah akan berlaku ratusan tahun lagi.
Sejarah menceritakan Tanah Melayu dijajah oleh Portugis, Belanda dan British. Ketiga - tiga kuasa ini bergilir - gilir memperkosa tanahair, mengaut hasil mahsul dan merogol anak - anak gadis Melayu. Malangnya Melayu boleh berbangga kerana sang penjajah memastikan teraju pimpinan adalah manusia yang menyanjung mereka. Dan lebih malang lagi sikap Melayu yang sanggup menjadi barua asalkan boleh hidup senang.
Berbalik kepada Mat Indera, dilabelkan pengganas kerana menyerang Rumah pasung British. Kerana cintakan tanah air dan bencikan British, jalan terakhir dipilih. Jalan perang bukannya jalan mudah. Pada waktu tersebut serangan ke atas rumah pasung British bukanlah satu perkara pelik. Dari situ akan diambil bekalan senjata. Itulah adat orang berperang. Dan malangnya Rumah Pasung British ini bukannya dijaga oleh Mac Donald atau Henry, tetapi penjaganya ialah Jamal, Yusuf dll.
Mat Indera bukannya berperang dengan PDRM tetapi berperang dengan British.
Kesimpulannya tidak layak kita kata Mat Indera pengkhianat, kerana perjuangan beliau adalah untuk membebaskan tanahair.
Sejarah perlu dikaji semula dan cerita sebenar perlu ditayangkan bukannya fantasi ala UMNO.

Tuesday, July 13, 2010

SERANGAN BOM BERANGKAI

Akhir - akhir ini, serangan pribadi kepada Ketua Pembangkang, Penasihat Umum PKR makin rancak. Mungkin ini adalah strategik politik terbaru musuh politik beliau, tidak lain dan tidak bukan Parti Melayu Sedunia dan sekutunya.
Dari serangan bom serangkai itu, dapatlah disimpulkan, insan yang bernama Anwar ini bukan sahaja seorang peliwat tegar dan kaki perempuan tetapi adalah seorang komunis, agen Yahudi, agen CIA dan pelbagai agen lagi. Seperti biasa suratkhabar UM dan BH yang sememangnya tidak laku di pasaran sejak berdekad lalu memainkan peranan aktif. Benar atau Tidak tuduhan itu bukannya perkara penting. Yang penting tuduh dulu.
Serangan bom berangkai, nampaknya hebat tetapi tidak kena pada 'target'. Itu yang terjadi sebenarnya. Di dalam peperangan, kebiasaan serangan bom berangkai hanya membunuh orang awam bukannya tentera. Begitu juga di dalam politik, silap - silap akan terbom kem sendiri.
Jika dilihat, kes Anwar seorang peliwat, kes ini menjadi kes paling lawak di dalam mahkamah yang ada seluruh dunia. Fakta tuduhan tidak kemas. Bukti yang kelakar. Mangsa yang tidak cukup syarat untuk jadi pelakun. Mengikuti perkembangan kes ini sama seperti melihat cerita Senario di rangkaian TV. Tidak tahu pangkal tidak tahu hujungnya.
Anwar Agen Yahudi, Agen CIA, Agen Komunis dan mungkin entah apa - apa agen lagi. Rasanya serangan ini dah pernah dilemparkan tetapi gagal. Tak perlu ulas.
Anwar bayar CNN sebab nak masuk wawancara. Dengar khabarnya CNN melenting sebab dituduh begitu. Seolah menunjukkan CNN tiada kredibiliti. Yang diserang Anwar, tetapi yang melenting CNN. Nampaknya dah tersalah tembak.
Kalau benar dakwaan tersebut, ini bermakna Anwar terpaksa mencari pelabur sebab nak bayar duit CNN dan mengiklankan diri. Sedangkan rasanya Parti Melayu Sedunia tidak pernahpun membayar kepada RTM di dalam mengiklankan pemimpin - pemimpinnya. Dasar makan free sahaja. Sedangkan kita tahu, RTM adalah milik kerajaan, milik rakyat. Pendedahan ini bagus kerana menunjukkan watak sebenar TUKANG FITNAH dan sekutunya.
Jadi rasanya mula masa kini. rakyat hendaklah mendesak seandainya Parti Melayu Sedunia atau mana - mana parti pun hendak mengiklankan parti atau pemimpin mereka di siaran TV khususnya RTM, perlu membuat bayaran dahulu. Kan menguntungkan kerajaan.
Di dalam politik, makin banyak serangan makin banyak kelemahan penyerang terdedah. Jadi nampaknya Serangan Bom Berangkai yang dibuat hanya mengena orang sendiri.

Monday, June 8, 2009

BUKIT KEPONG: ULASAN FILEM

TUP, TUP, tertekan TV2, tengok Filem Bukit Kepong, kisah komunis serang Bukit Kepong. Bukannnya nak ulas jalan cerita Bukit Kepong, tetapi sekadar nak ulas sikit sahaja. Sudah pasti filem ini dibuat sebagai alat propaganda kerajaan untuk memburukkan pejuang berideologi Komunis. Sebagai alat propaganda, misi utama mesti membuktikan komunis itu kejam dan zalim. Di dalam filem arahan Aki Jins ini, masih belum cukup kuat tetapi membuktikan komunis tidak zalim dan kejam.
1. Komunis tidak membunuh perempuan dan anak - anak, Di dalam filem ini komunis menyuruh anak - anak dan perempuan lari. Komunis hanya berperang dengan anggota polis yang mempertahankan majikannnya (British). Pihak komunis juga memberi ruang kepada anggota polis untuk menyerah diri dan tidak dipengapa - apakan. Pihak polis mengambil keputusan berperang. Di dalam situasi tersebut, itu adalah keputusan dan risiko peperangan. Jika berperang sudah pasti ada yang terkorban. Andaian saya, kesilapan keputusan telah mengorbankan nyawa.
Di dalam adegan lain, pihak tentera yang menyerang komunis, tidak memberi arahan dan amaran untuk menyerang komunis. Terus ditembak sahaja. Komunis perempuan juga dibunuh. Ini menunjukkan lebih kejam dan zalim pihak Tentera British.
2. Komunis merampas beras dari kedai runcit. Seperti yang sedia maklum, kedai runcit di zaman dahulu, banyak yang memeras dan menipu pembeli. Jadi apalah salahnya, komunis yang mengambil barang - barang mereka sebagai pengajaran. Rasanya lebih zalim lagi, penguatkuasa kerajaan yang menyita kedai tanpa lesen. Sedangkan lesen itu adalah bidangkuasa penguatkuasa tersebut. Boleh diberi dengan bicara.
Lebih zalim lagi, penguatkuasa yang memeras duit @ mengambil rasuah secara menekan kesalahan rakyat. Mungkin polis yang menekan untuk rasuah kepada pesalah adalah lebih zalim dan kejam lagi. Tiada bezanya dengan Komunis di dalam Bukit Kepung. Sedangkan peristiwa itu terjadi hanya di Bukit Kepong, sedangkan di seluruh Malaysia hari ini, ramai penguatkuasa mengamalkan sistem pemerasan. Pegawai kerajaan yang memeras, menutup periuk nasi peniaga sesuka hati. Melaksanakan undang - undang tak masuk akal. Pegawai kerajaan kita adalah lebih kejam dan zalim dari komunis.

Kesimpulan saya, komunis membuat apa yang perlu dilakukan mengikut keadaan. Itu sahaja. Nampak gayanya propaganda Aki Jins memihak kepada komunis bukan menunjukkan komunis itu kejam dan zalim. Mungkinkah Aki Jins juga terpengaruh dengan keadilan komunisme.

Wednesday, June 3, 2009

KISAH WAN ALI

Wan Ali

Dalam sejarah tanah air, penglibatan orang Melayu dalam peperangan menentang penjajah telah lama berlaku, sejak dari Pasukan Gerila Pakeh Unus yang menentang Portugis di Melaka dalam tahun 1511, Datuk Bahaman dan Mat Kilau di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Dato Naning Dol Said di Melaka, serta ramai lagi termasuk Datuk Maharajalela di Perak. Selepas tamat Perang Dunia Kedua, semangat Orang Melayu untuk merdeka sudah marak. Namun, kerana perjuangan kemerdekaan mereka berlaku serentak dengan era kebangkitan pengganas komunis, kerajaan Inggeris telah mengaitkan perjuangan orang Melayu sama dengan perjuangan bersenjata komunis. Justeru, terdapat ramai pejuang kemerdekaan yang menentang kuasa Inggeris, telah menyertai pengganas komunis, bila perjuangan mereka diharamkan oleh Inggeris. Wan Ali juga pada asalnya adalah seorang ketua gerila Melayu yang berjuang menentang kuasa Inggeris untuk memerdekakan Tanah Melayu daripada penjajah. Pasukan Askar Melayu yang berkhidmat dalam negeri Pahang, khasnya dalam kawasan Jerantut dan Kuala Lipis, cukup mengenali kumpulan gerila komunis yang dipimpin oleh Wan Ali. Ramai perajurit muda yang terlibat dalam operasi memburu Wan Ali, merasakan beliau mempunyai ilmu batin yang sangat tinggi. Ilmu yang dimiliki oleh Wan Ali dikatakan boleh menurunkan hujan panas atau hujan lebat apabila beliau menjangkakan akan berlaku pertempuran atau pasukannya sedang dikepung oleh pasukan Askar Melayu. Namun, dalam satu serang hendap yang dilakukan oleh sepuluh anggota Askar Melayu dari Batalion Kedua Kompeni Charlie yang dipimpin oleh Kpl Adnan Ibrahim di Ulu Ceka, Jerantut pada bulan Sep 1948, tiga pengganas Melayu yang ditangkap tiga hari setelah pertempuran tersebut menyatakan bahawa seramai 14 orang gerila telah terbunuh serta Wan Ali sendiri tercedera. Kpl Adnan Ibrahim yang baru berumur 26 tahun bersama sembilan anggota seksyen yang berumur belasan tahun dan awal 20an, bersama beberapa orang kampung, telah dengan berani menentang seramai lebih 60 pengganas komunis Melayu. Pada asalnya tugas Kpl Adnan dan seksyen datang ke Kampung Ulu Ceka ialah untuk mengiringi jurugambar bagi membuat Kad Pengenalan penduduk kampung. Bila mereka mendapat maklumat bahawa pengganas komunis Melayu pimpinan Wan Ali merancang untuk menyerang Kampung Ulu Ceka pada waktu subuh, Kpl Adnan dan Ketua Kampung telah membuat keputusan untuk mempertahankan kampung mereka dengan melakukan serang hendap di jalan masuk ke Kampung Ulu Ceka. Kepimpinan , keberanian yang telah ditunjukkan oleh Kpl Adnan dan anggota seksyen serta lima orang kampung yang hanya bersenjatakan parang dan keris, telah berjaya menyelamatkan penduduk Kampung Ulu Ceka dari serangan pengganas komunis Melayu.

Setelah peristiwa serang hendap di Ulu Ceka, kumpulan gerila pimpinan Wan Ali terus mengganas di beberapa perkampungan pendalaman sekitar Jerantut. Setelah banyak percubaan untuk menangkap atau membunuhnya oleh pasukan tentera Inggeris dan pasukan Askar Gurkha gagal, Wan Ali mula berlagak sombong dan dengan bongkak memberitahu orang kampung bahawa tidak ada biji mata yang berani menentang Wan Ali. Kemuncaknya, beliau telah membunuh Ketua Kampung Pulau Tawar yang merupakan bapa saudaranya sendiri. Mungkin bapa saudaranya adalah talibarut Inggeris.

Setelah pembunuhan Ketua Kampung Pulau Tawar, satu platun yang diketuai oleh Lt M Syed Muhammad Al -Sagoff telah dating dari Jerantut untuk memburu kumpulan gerila komunis pimpinan Wan Ali. Kekuatan yang dimiliki oleh Wan Ali telah membuatkan Lt M Syed Muhammad bertekad untuk menangkap atau membunuhnya. Sebelum Lt M Syed Muhammad dapat memulakan operasi, beliau telah didatangi oleh seorang penduduk kampung yang juga seorang Pengawal Kampung yang meminta supaya Lt M Syed tidak melakukan sebarang operasi di hutan sekitar Kampung Pulau Tawar. Pengawal Kampung yang juga bekas seorang anggota polis yang sudah bersara menyatakan bahawa tindakan oleh platun Askar Melayu akan membuatkan Wan Ali dan kumpulan gerila komunis pimpinannya menjadi bertambah ganas ke atas orang kampung. Pengawal Kampung tersebut telah meminta tempuh satu minggu untuk beliau bertindak menangkap ataupun menghapuskan Wan Ali.
Dalam tempoh seminggu yang diminta oleh orang kampung, Lt M Syed Muhammad telah didatangi oleh orang kampung menyatakan Pengawal Kampung telah berjaya membunuh Wan Ali. Mayat Wan Ali telah diarak oleh pegawai Inggeris di atas kereta wagon miliknya sendiri sekeliling Bandar Jerantut sebelum dihantar ke Kuala Lipis. Penduduk Jerantut tidak menyukai tindakan pegawai Inggeris tersebut yang dianggap tidak menghormati mayat orang Islam. Dalam sejarah menyatakan bahawa Ketua Gerila Komunis Melayu Wan Ali telah dibunuh oleh platun Askar Melayu dari Jerantut, namun hakikatnya beliau telah dibunuh oleh pesara polis yang merupakan seorang Pengawal Kampung dari Kampung Pulau Tawar. Bagaimana Wan Ali telah dapat dibunuh atau ditewaskan tidak pula diketahui oleh Lt M Syed Muhammad.

Tuesday, June 2, 2009

SIAPA KATA BRITISH TAK KEJAM.


Hanya gambar ini yang mampu mnceritakan segala - galanya. Tiada dalam buku sejarah kita, tetapi dipamerkan di Muzium di British. Nilailah sendiri.

Friday, May 29, 2009

PEJUANG DAN PAHLAWAN






Setiap perjuangan ada pro dan kontra. Setiap perjuangan ada benar dan salah. Itu adalah lumrah alam yang tak boleh lari. Perjuangan yang sebenar hanyalah menegakkan kalimah Allah di mukabumi. Perjuangan para Nabi dan Sahabat yang hanya untuk Allah sahaja. Mereka gadaikan hatta nyawa dan harta hanya untuk Allah. Itupun masih ada perselisihan fekah dari segi kaedahnya.
Itulah perjuangan, yang pastinya manusia berjuang adalah lebih baik dari manusia yang tidak berjuang mengikut membuta tuli.
Ramai manusia hanya berjuang untuk perut dan bawah perut sahaja. Itulah ideologi dan keyakinan yang utama. Janji ada gaji, boleh makan sudahlah. Yang lain betul atau salah, itu tidak penting. Apa yang boleh mengganggu gugat majikan atau tokey kita, adalah salah. Ramai yang begini.
Tidak kira ada ilmu atau tidak. Janji perut diisi, perut tak kelaparan. Nafsu boleh dipenuhi. Apa cara, tak penting, kalau perlu guna agama pun tak mengapa? Bagi golongan ini bukan syurga dan neraka yang dicari, tetapi perut yang perlu diisi. Dunia perlu dinikmati.
Ada yang berjuang kerana keyakinan. Tanpa mengira risiko atau kesusahan yang ditempuhi, mereka tetap berjuang. Bagi mereka perjuangan adalah untuk ramai orang bukannya diri sendiri. Golongan ini sanggup menggadaikan nyawa demi perjuangan mereka. Perjuangan adalah hak, perjuangan mesti banyak halangan. Ada yang berjaya, ada yang gugur. Sekiranya perjuangan golongan ini ditambah dengan keyakinan untuk Allah, pasti ganjaran yang baik dari Ilahi menanti mereka.
Di awal sejarah kemerdekaan Tanah Melayu, banyak golongan mengaku mereka berjuang. Ada yang berjuang demi Raja, demi British, demi rakyat, demi kemerdekaan dan demi entah apa - apa lagi.
Yang menang adalah golongan yang berjuang demi British dan Raja. Sudahpasti sejarah milik mereka, kerana sejarah dicorak oleh golongan yang menang. Andainya golongan yang berjuang demi rakyat yang menang, pasti sejarah dibaca dari sudut berbeza.
Bagi ku, pejuang tetap pejuang. Benar atau salah, biarlah Allah menentukan.
Polis dan tentera, sumbangan mu tetap ada.Tetapi sumbanganmu yang terbesar adalah kepada majikan. Jika majikan itu benar, maka benarlah. Jika salah maka salahlah. Kamu bukan pejuang tetapi pahlawan. Umpama Hang Tuah pahlawan tetapi bukan pejuang. Hang Tuah di mata Sultan Melaka adalah suruhan paling berharga. Sanggup bergadai nyawa demi Sultan. Benar atau salah, perkara kedua, titah Sultan mengatasi Kalam Allah. Itulah Hang Tuah. Biar dicampak ke dalam Neraka, titah Sultan derhaka jangan.
Malangnya di dunia yang semakin berkembang, pengaruh Hang Tuah ada juga dipegang oleh para Mufti ( pegawai kerajaan paling tinggi ilmu agamanya). Mereka sanggup mengiakan perintah majikan biarpun bertentangan dengan perintah Ilahi. Akhirnya golongan Mufti dipandang jijik oleh masyarakat, kerana sanggup bersekongkol dengan kezaliman. Jadi tidak layaklah Mufti yang sedemikian diletakkan sebagai pejuang.
Leftenan Adnan Saidi adalah pahlawan, sanggup bermatian menentang Jepun. Tetapi dia bukannya pejuang kerana bekerja dan mempertahankan British. Andainya British tidak memberikannya gaji,mungkin tak jadi askar kot. Askar Jepun yang membunuhnya juga pahlawan di mata tentera Jepun.
Pejuang tetap diiktiraf, biarpun di zamannya mereka tidak dihargai. Dato' Bahaman, Tok Janggut, MaharajaLela, Pak Sako, Dr. Burhanuddin, Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam, Abu Samah, Rashid Maidin, dan lain - lain yang tak diketahui namanya. Sejarah Pejuang akan dikaji sampai bila - bila tetapi tidak sejarah pahlawan.

Tuesday, May 26, 2009

KOMUNIS DAN RAIS

Mengamuk Rais Yatim sehingga terkeluar kata - kata ' Tiada tempat komunis di Malaysia'. Aku sendiri pun bukanlah berfahaman komunis apatah lagi nak belajar tentang komunisme. Tak berminat langsung. Tetapi aku hairan mengapa terpacul kata - kata seperti itu dari Menteri. Apakah Komunisme telah meresap masuk ke dalam Malaysia?
Rais marah sangat kat blog http://matamin.blogspot.com sebab sebarkan fahaman komunis.
Dan apabila dibaca, Matamin cuba menjelaskan peranan mereka di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pejuang - pejuang seperti Rashid Maiden, Abu Samah, Suriati dll menggadaikan nyawa untuk kemerdekaan tanahair. Dan mereka mengambil perjuangan dengan senjata untuk menentang penjajah. Dan komunisme yang mereka pegang rasanya tidak sama dengan ideolorgi komunis Karl Mark sendiri. Mereka tidak pernah menolak agama mahupun adat Melayu sendiri. Mereka berjuaang kerana kebencian kepada penjajah British. Istilah Penjajah British ini tidak pernah digunakan oleh UMNO, mungkin kerana UMNO menganggap British sebagai bapa angkat mereka. Entahlah. Rais Yatim sendiri tidak pernah menghina Penjajah British, biarpun British pernah membunuh anak Melayu, menghukum Sultan yang tidak sefahaman dengan mereka, dan merampok hasil negeri kita. Mengapa? Apakah UMNO gerun untuk menggelar British sebagai Penjajah?
Di zaman serba moden ini, rakyat pandai menilai apa yang baik dan buuk. Sekadar berblog, rakyat boleh fikir sendiri apa yang baik dan buruk.
Perjuangan mereka (yang dichop pengkianat) adalah menentang British. Perjuangan mereka untuk tanahair, itu sahaja. Sejarah telah membuktikannya. Rasanya tak perlu diulas panjang.
Setiap perjuangan, pasti ada asasnya. Mereka cuma meminta dan memberitahu perjuangan yang telah berlalu. Perjanjiann damai 1989 tealah menutup era peperanagan Kerajaan Malaysia dan PKM. Di dalam peperangan pasti ada yang terkorban, tetapi setelah 20 tahun perjanjian dimateri, rasanya tiada lagi ancaman PKM.
Biarlah rakyat menilai samada perjuangan maerekla itu benar tau salah. selama ini kita hanyak mendengar propaganda dari sebelah pihak.Kita dah dengar komunis jahat, kejam, bunuh orang sesuka hati, dan macam - macam lagi. Apa salahnya beri mereka hak.
Rasanya mungkin Rais dah tak ada idea, jadi duk merapu nak cari populariti. Isu seperti ini pun nak dibesar - besarkan. Lebih baik fikirkan kebajikan rakyat.
RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIaAN DIUTAMAKANa, kata - kata siapa ya?