Wednesday, June 3, 2009

KISAH WAN ALI

Wan Ali

Dalam sejarah tanah air, penglibatan orang Melayu dalam peperangan menentang penjajah telah lama berlaku, sejak dari Pasukan Gerila Pakeh Unus yang menentang Portugis di Melaka dalam tahun 1511, Datuk Bahaman dan Mat Kilau di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Dato Naning Dol Said di Melaka, serta ramai lagi termasuk Datuk Maharajalela di Perak. Selepas tamat Perang Dunia Kedua, semangat Orang Melayu untuk merdeka sudah marak. Namun, kerana perjuangan kemerdekaan mereka berlaku serentak dengan era kebangkitan pengganas komunis, kerajaan Inggeris telah mengaitkan perjuangan orang Melayu sama dengan perjuangan bersenjata komunis. Justeru, terdapat ramai pejuang kemerdekaan yang menentang kuasa Inggeris, telah menyertai pengganas komunis, bila perjuangan mereka diharamkan oleh Inggeris. Wan Ali juga pada asalnya adalah seorang ketua gerila Melayu yang berjuang menentang kuasa Inggeris untuk memerdekakan Tanah Melayu daripada penjajah. Pasukan Askar Melayu yang berkhidmat dalam negeri Pahang, khasnya dalam kawasan Jerantut dan Kuala Lipis, cukup mengenali kumpulan gerila komunis yang dipimpin oleh Wan Ali. Ramai perajurit muda yang terlibat dalam operasi memburu Wan Ali, merasakan beliau mempunyai ilmu batin yang sangat tinggi. Ilmu yang dimiliki oleh Wan Ali dikatakan boleh menurunkan hujan panas atau hujan lebat apabila beliau menjangkakan akan berlaku pertempuran atau pasukannya sedang dikepung oleh pasukan Askar Melayu. Namun, dalam satu serang hendap yang dilakukan oleh sepuluh anggota Askar Melayu dari Batalion Kedua Kompeni Charlie yang dipimpin oleh Kpl Adnan Ibrahim di Ulu Ceka, Jerantut pada bulan Sep 1948, tiga pengganas Melayu yang ditangkap tiga hari setelah pertempuran tersebut menyatakan bahawa seramai 14 orang gerila telah terbunuh serta Wan Ali sendiri tercedera. Kpl Adnan Ibrahim yang baru berumur 26 tahun bersama sembilan anggota seksyen yang berumur belasan tahun dan awal 20an, bersama beberapa orang kampung, telah dengan berani menentang seramai lebih 60 pengganas komunis Melayu. Pada asalnya tugas Kpl Adnan dan seksyen datang ke Kampung Ulu Ceka ialah untuk mengiringi jurugambar bagi membuat Kad Pengenalan penduduk kampung. Bila mereka mendapat maklumat bahawa pengganas komunis Melayu pimpinan Wan Ali merancang untuk menyerang Kampung Ulu Ceka pada waktu subuh, Kpl Adnan dan Ketua Kampung telah membuat keputusan untuk mempertahankan kampung mereka dengan melakukan serang hendap di jalan masuk ke Kampung Ulu Ceka. Kepimpinan , keberanian yang telah ditunjukkan oleh Kpl Adnan dan anggota seksyen serta lima orang kampung yang hanya bersenjatakan parang dan keris, telah berjaya menyelamatkan penduduk Kampung Ulu Ceka dari serangan pengganas komunis Melayu.

Setelah peristiwa serang hendap di Ulu Ceka, kumpulan gerila pimpinan Wan Ali terus mengganas di beberapa perkampungan pendalaman sekitar Jerantut. Setelah banyak percubaan untuk menangkap atau membunuhnya oleh pasukan tentera Inggeris dan pasukan Askar Gurkha gagal, Wan Ali mula berlagak sombong dan dengan bongkak memberitahu orang kampung bahawa tidak ada biji mata yang berani menentang Wan Ali. Kemuncaknya, beliau telah membunuh Ketua Kampung Pulau Tawar yang merupakan bapa saudaranya sendiri. Mungkin bapa saudaranya adalah talibarut Inggeris.

Setelah pembunuhan Ketua Kampung Pulau Tawar, satu platun yang diketuai oleh Lt M Syed Muhammad Al -Sagoff telah dating dari Jerantut untuk memburu kumpulan gerila komunis pimpinan Wan Ali. Kekuatan yang dimiliki oleh Wan Ali telah membuatkan Lt M Syed Muhammad bertekad untuk menangkap atau membunuhnya. Sebelum Lt M Syed Muhammad dapat memulakan operasi, beliau telah didatangi oleh seorang penduduk kampung yang juga seorang Pengawal Kampung yang meminta supaya Lt M Syed tidak melakukan sebarang operasi di hutan sekitar Kampung Pulau Tawar. Pengawal Kampung yang juga bekas seorang anggota polis yang sudah bersara menyatakan bahawa tindakan oleh platun Askar Melayu akan membuatkan Wan Ali dan kumpulan gerila komunis pimpinannya menjadi bertambah ganas ke atas orang kampung. Pengawal Kampung tersebut telah meminta tempuh satu minggu untuk beliau bertindak menangkap ataupun menghapuskan Wan Ali.
Dalam tempoh seminggu yang diminta oleh orang kampung, Lt M Syed Muhammad telah didatangi oleh orang kampung menyatakan Pengawal Kampung telah berjaya membunuh Wan Ali. Mayat Wan Ali telah diarak oleh pegawai Inggeris di atas kereta wagon miliknya sendiri sekeliling Bandar Jerantut sebelum dihantar ke Kuala Lipis. Penduduk Jerantut tidak menyukai tindakan pegawai Inggeris tersebut yang dianggap tidak menghormati mayat orang Islam. Dalam sejarah menyatakan bahawa Ketua Gerila Komunis Melayu Wan Ali telah dibunuh oleh platun Askar Melayu dari Jerantut, namun hakikatnya beliau telah dibunuh oleh pesara polis yang merupakan seorang Pengawal Kampung dari Kampung Pulau Tawar. Bagaimana Wan Ali telah dapat dibunuh atau ditewaskan tidak pula diketahui oleh Lt M Syed Muhammad.