Showing posts with label mat indera. Show all posts
Showing posts with label mat indera. Show all posts

Thursday, September 8, 2011

AKU BUKAN KOMUNIS....





Gegak gempita alam Tanah Jawi menyambut 54 tahun merdeka. Merdeka dari siapa? Tiada siapa yang tahu. Ada kata merdeka dengan Komunis. Komunis mana dan apa itu komunis pun kita tak tahu. Yang kita tahu membaca skrip dan sejarah yang ditulis oleh pihak British. Sejarah yang bukan datang dari British adalah sejarah palsu. Siapa yang membacanya boleh dilucutkan warganegara @ ditahan dan soal siasat @ yg lebih malang ditahan Ikut Suka Aku.
Rasanya lebih separuh tidak tahu kita pernah dijajah British. Anak - anak muda hanya tahu British pandai main bolesepak dan mengajar kita main bolesepak. Moga satu hari kelab di Malaysia setaraf dengan MU @ Liverpool. Bagi bekas polis dan tentera, British adalah majikan yang perlu disanjung. Putih kata British putih, Hitam kata British hitamlah. Bagi golongan sejarawan, Sejarah dari British adalah mutlak, kajian yang lain hanya palsu dan dongengan.
Bila Mat Sabu berkata, Mat Indera adalah seorang pejuang merdeka, maka bergempitalah Sang Mamak yang keturunannya tidak pernah berjuang untuk tanahair berteriak, ITU KOMUNIS.
Baiklah sekiranya Mat Indera Komunis, bagaimana dengan Ibrahim Yaakob (anak Melayu pertama berbicara tentang Merdeka),Dr Burhanuddin Hilmi (anak Melayu pertama yang ada Phd), Ishak Muhamad, Ahmad Boestamam (Merdeka dengan Darah), dan ribuan lagi yang tidak mampu dituliskan di sini.
Apakah pejuang kemerdekaan hanya Onn, Tunku. Siapakah mereka? Bukankah mereka yang berkhidmat taat setia kepada Ratu Englang dan Union Jack. Onn Jaafar sendiri pernah memberi ucapan yang Tanah Melayu belum layak merdeka.
Bila anak - anak muda membongkar sejarah maka, ugutan dan tomahan. Jika Kerajaan benar - benar jujur, bincangkan secara terbuka. Adakan forum. Biarlah rakyat Tanah Jawi ini menentukan siapa yang pejuang atau tidak, bukannya hanya dari kaca mata British.
Mana pergi perjuangan Maharajalela, Tuk Bahaman, Mat Kilau, Hj Abd Rahman Limbung, Tuk Janggut, Rosli Dobi, Rentap, Yamtuan Antah?
Yang diagungkan sebagai pejuang kemerdekaan mesti dari parti UMNO, MCA dan MIC. Selain dari itu adalah KOMUNIS.
Jika sejarah ini tidak dibongkar hari ini, generasi ke hadapan akan terus menjadi bodoh sejarah dan tidak tahu membezakan mana yang benar mana yang salah? Siapa pejuang Siapa Penjajah.
Terima Kasih Mat Sabu, yang berani membuka mata kita.
Kepada anggota polis dan tentera janganlah terlalu emosi, Jika apa yang kita buat dahulu adalah salah, kerana itu adat peperangan. Bila berdamai, maka tutuplah buku. Jika ada yang terkorban, di pihak sana pun sama juga. Mungkin perjuangan mereka utuk tanahair dan bencikan penjajah tetapi perjuangan polis dan tentera untuk makan gaji. Itu sahaja. Moga Allah memberi keampunan kepada semua...Tegaklah kebenaran biarpun pahit....

Tuesday, September 6, 2011

MAT INDERA, NAMAMU KEMBALI MENGHARUM..

Tahniah kepada Abang Mat, ucapannya walaupun dianggap konfrontasi, namun mengukir kembali fakta - fakta yang berkaitan Mat Indera. Sejarah Mat Indera dibuka kembali. Tidak sia - sia pengorbanan beliau untuk tanahair. Selama ini Mat Indera dengan pelbagai tomahan bermula dari zaman penjajah hingga ke waris penjajah, perjuangan beliau demi tanahair tercinta akan terus terbongkar satu demi satu.
Siapa Mat Indera? Penjuang atau Pengkhianat? Ramai yang buta sejarah dan sejarah diputarbelitkan.
Kita dikenalkan dengan nama Dato' Onn, Tunku dan Tun Razak. dan merekalah yang disanjung dan diangkat menjadi pejuang kemerdekaan. Tetapi kita lupa, mereka bekerja dengan British, istilahnya makan gaji. Bermajikan British. Sudah pastilah mengikut arahan British.
Sama seperti kita mengagungkan karya Mamak Abdullah yang diangkat menjadi Bapa Pesuratan Melayu Moden, sedangkan beliau hanya penulis upahan Stamford Raffles. Sudahpastilah tulisan beliau hanya mengangkat pengupahnya dan menidakkan orang lain.
Tidak salah makan gaji atau bermajikan British untuk mencari makan. Tetapi yang salahnya bila sanggup membunuh anak bangsa sendiri dan menidakkan perjuangan orang lain. Mereka ini layak digelar Pengkhianat.
Sejarah Malaysia umpama cerita fantasi. British menjajah kita ratusan tahun namun tetap diangkat sebagai kawan bahkan disanjung umpama Bapa. Sedangkan pejuang - pejuang yang sanggup berkorban nyawa untuk tanahair tercinta dilabelkan Pengkhianat. Dan cara lebih mudah dinamakan Komunis. Maka ramai Melayu yang tak tahu apa - apa, yang lebih gemar melihat rancangan Akademi Fantasia dan Hiburan Joget Lambak ini mudah mengiakan sahaja. Kemudian diturunkan ke anak cucu mereka. Maka anak cucu ini lah pun mengiakan sahaja. Begitulah akan berlaku ratusan tahun lagi.
Sejarah menceritakan Tanah Melayu dijajah oleh Portugis, Belanda dan British. Ketiga - tiga kuasa ini bergilir - gilir memperkosa tanahair, mengaut hasil mahsul dan merogol anak - anak gadis Melayu. Malangnya Melayu boleh berbangga kerana sang penjajah memastikan teraju pimpinan adalah manusia yang menyanjung mereka. Dan lebih malang lagi sikap Melayu yang sanggup menjadi barua asalkan boleh hidup senang.
Berbalik kepada Mat Indera, dilabelkan pengganas kerana menyerang Rumah pasung British. Kerana cintakan tanah air dan bencikan British, jalan terakhir dipilih. Jalan perang bukannya jalan mudah. Pada waktu tersebut serangan ke atas rumah pasung British bukanlah satu perkara pelik. Dari situ akan diambil bekalan senjata. Itulah adat orang berperang. Dan malangnya Rumah Pasung British ini bukannya dijaga oleh Mac Donald atau Henry, tetapi penjaganya ialah Jamal, Yusuf dll.
Mat Indera bukannya berperang dengan PDRM tetapi berperang dengan British.
Kesimpulannya tidak layak kita kata Mat Indera pengkhianat, kerana perjuangan beliau adalah untuk membebaskan tanahair.
Sejarah perlu dikaji semula dan cerita sebenar perlu ditayangkan bukannya fantasi ala UMNO.

Friday, May 29, 2009

LAGENDA MAT INDERA

Lagenda Mat Indera*


Foto Mat Indera(3 dari kiri) bersama kawan-kawan sekolah Melayu


Nama penuh: Ahmad bin Indera, berdarah pahlawan daripada keturunan Datuk Bentara Husin Lela Pahlawan Siak Seri Inderapura yang menjadi Panglima Kanan Sultan Sharif di Siak.Memiliki sifat terpuji seperti lemah lembut, peramah, mudah tersenyum, suka melawak, tidak mudah marah dan tidak gemar menyakiti hati orang lain.



Seorang hafiz al-Quran, gemar bernasyid, berkasidah dan berzanji. Berguru kepada Kiyai Haji Fadzil Bentan yang menjadi salah seorang guru dan penasihat DYMM Sultan Ibrahim.Dilahirkan pada 1920 di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat. menamatkan persekolahan peringkat darjah enam sekolah agama pada tahun 1937, dan bertugas sebagai seorang guru agama di Parit Setongkat, Muar.

Melibatkan diri dalam politik dengan tujuan memerdekakan tahahair daripada penjajahan Inggeris.Beliau menjadi ahli sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ishak Haji Mohammad;Mat Indera juga aktif didalam pergerakkan yang dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API).


Mat Indera telah memilih untuk masuk ke hutan dan meneruskan perjuangan secara gerila pada bulan Jun 1948, mungkin terpengaruh dengan perjuangan Revolusi Indonesia menentang Belanda.Beliau bergerak di daerah Muar, sekitar kawasan Lenga, Pagoh, Jorak, Bukit Kepong dan Poris.Memandangkan gerakan gerila yang sudah sedia aktif bergerak di dalam hutan ialah kumpulan orang-orang Cina dikenali sebagai Bintang Tiga,maka Mat Indera tidak punya pilihan melainkan perlu membina hubungan dengan mereka sebagai pelindung walaupun hakikatnya matlamat perjuangan berbeza;atas dasar inilah Mat Indera dilabel sebagai komunis yang ganas, berbahaya dan tidak beragama.Mat Indera menjadi ketua gerila PKM Melayu bagi Daerah Muar,Batu Pahat dan Melaka.


Mat Indera menempa nama sebagai pejuang gerila yang paling dikehendaki apabila dikaitkan dengan peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong. Sebaliknya menurut saksi, seorang anggota polis marin bernama Abu Bakar yang terselamat dalam serangan, Mat Indera tidak tidak terlibat menembak atau menyerang anggota Polis,malah sebaliknya melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis di Rumah Pasong Bukit Kepong.


Mat Indera memang bertanggungjawab mengarahkan serangan tetapi arahan yang diberikan ialah untuk menangkap beberapa orang anggot polis yang berjudi dan mabuk pada malam Tahun Baru Cina, sebaliknya gerila-gerila Cina di bawah arahan beliau telah membuat pakatan rahsia dan mengingkari perintah lalu membakar dan membunuh polis.



Tragedi Bukit Kepong dijadikan alasan oleh Inggeris untuk mengukuhkan dakwaan keganasan dan kekejaman Mat Indera.Inggeris menetapkan reward $75,000 sebagai hadiah tawaran penangkapan. Mat Indera dikatakan mempunyai ilmu ghaib dan telah beberapa kali terlepas daripada tangkapan.


Namun salah seorang pengikutnya bergelar Mat Tukyo telah ditangkap Inggeris dan dipujuk untuk membelot bagi menangkap Mat Indera.Mat Tukyo berunding dengan 2 orang kawannya yang lain yang dikenali sebagai Beladang dan Misban.Mereka bersetuju untuk bekerjasama dengan Inggeris setelah permintaan mereka untuk diberi ganjaran sekeping tanah untuk tapak rumah dan kebun diterima oleh Inggeris.


Pada malam 14 oktober 1952, Mat Indera dijemput ke sebuah perjumpaan di kampung Seri Medan, dan dihidangkan tempe goreng dan air kopi yang bercampur dgn kecubung,yang boleh menyebabkan rasa mengantuk dan mabuk jia meminumnya.Mat Indera setelah diberi minum air kopi bercampur kecubung itu telah tidak sedarkan diri; maka pada ketika itulah Mat Tukyo mencabut segala tangkal.Di katakan tangan Mat Indera diikat dengan lalang dan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Seri Medan.Adalah dipercayai kehilangan tangkal dan ikatan lalang menggugurkan semua kekuatan ilmu kebatinan beliau.Mat Indera semasa didalam tahanan Inggeris telah dipamerkan ke khalayak ramai sebagai sebahagian propaganda Inggeris.


Mat Indera dipenjarakan di beberapa tempat, dari Batu Pahat ke Johor Bahru, Pulau Pinang, Pudu dan Taiping.Di dalam penjara mat Indera didera.Akhirnya Mat Indera menjalani hukuman gantung sampai mati pada jam 11 malam 30 Januari 1953 di Penjara Taiping.Jenazahnya dikebumikan di Kampung Jambu Air, Taiping.


Antara cerita lain tentang Mat Indera ialah menahan komunis dari membunuh anggota polis yang cedera di depan balai polis sewaktu serangan di Rumah Pasong Bukit Kepong.Chin Peng pernah mengatakan sekiranya Mat Indera menyerah diri ketika itu, ramai orang Melayu yang menyertai PKM akan mengikut jejaklangkahnya juga.Manakala adik Mat Indera mengatakan bukan Mat Indera yang mengetuai serangan Balai Polis bukit Kepong.



Manakala menurut cerita orang ,kali pertama kena tangkap,Mat Indera memberitahu yang dia hendak sembahyang dan minta izin untuk mengambil wudhuk,semase ambil air sembahyang Mat Indera dikatakan ghaib menghilangkan diri.Peristiwa kali kedua pula,Mat Indera minta hendak sentuh rumput semasa di tangkap,apabila beliau menyentu rumput,dikatakan Mat Indera sekali lagi dapat meloloskan diri secara ghaib.Akhirnya Mat Indera kecundang juga setelah terminum air kopi yang dibubuh buah kecubung.





*Entri ini saya ambil dari blog http://muor76.blogspot.com .Saya telah membuat sedikit perbaikan terhadap laras bahasa penulis asal tanpa menjejaskan maksud asal penulisnya.Ketepatan dan kejituan fakta adalah diluar dari tanggungjawab saya.