Showing posts with label pejuang. Show all posts
Showing posts with label pejuang. Show all posts

Monday, August 31, 2009

MERDEKA DARI KOMUNIS?

Rasanya masih belum terlewat untuk berbicara tentang merdeka. Hari ini tarikh kemerdekaan yang entah ke berapa, aku sendiri pun tak ingat. Biasanya ada juga tertulis di banner yang digantung. Malangnya pada tahun ini aku tidak melihat banner - banner bergantungan seperti biasa. Dan tiada kibaran bendera, cuma sekali - sekala baru terlihat di pejabat- pejabat kerajaan. Jadi aku sendiri pun tak berapa ingat yang hari ini hari Merdeka.
Mungkin semangat Merdeka telah hilang dari UMNO. Sebab bagi ku Merdekanya kita sebenarnya hanya UMNO dan sekutunya sahaja yang merdeka. Sambutan bukannya untuk rakyat jelata tetapi dihidangkan sajian sahaja. Banyak projek yang dilaburkan kepada ahli UMNO semasa hari Merdeka. Di malam sebelum pula, anak - anak muda UMNO dan sekutunya berpesta sakan menjerit melaung MERDEKA sambil berpelukan dengan gadis di bawah umur, dan setin Carlsberg atau Shandy Jolly sebagai penghilang dahaga. MERDEKA yang dilaungkan juga tidak mempunyai apa - apa erti dan makna. Jika ditanya kepada mereka nescaya mereka juga tidak memahaminya.
Inilah MERDEKA yang dicipta dari slogan. Malangnya tanahairku dan rakyat jelatanya.
Jika kita melihat negara lain, mereka begitu berbangga dengan merdeka kerana mereka faham tentang Sejarah. Sedangkan rakyat kita buta sejarah. Sejarah yang diajar hanya penuh dengan penipuan dan propaganda. Akhirnya generasi baru memahami MERDEKA dari sudut yang salah.
Tidak hairan jika anak muda hari ini berkata KITA MERDEKA DARI KOMUNIS. Dan berbangga denga Penjajah kita iaitu BRITISH. Disanjung bagai nak rak. Dipuja pasukan bole mereka dan sanggup berbelanja ratusan mungkin ribuan RM untuk bergaya dengan pakaian, topi. Itulah Merdeka kita. Kita lupa itulah bangsa yang membunuh tuk nenek moyang kita. Yang mencampuri agama kita sehingga generasi kita lupa dan keliru.
Hari ini kita ada TUGU Negara. Lambang kepahlawanan bangsa. Malangnya jika diteliti, kita dapati, wajah mereka wajah PENJAJAH. Bukannya wajah anak bangsa kita. Itulah erti MERDEKA, bertelenggu memperingati askar British yang terkorban untuk memastikan imperialisme di Tanah Melayu.
MERDEKA kita penuh kekeliruan, diceritakan Tunku ke London, berbincang, tawar menawar dan akhirnya diberi KEMERDEKAAN. Mudah dan senang. Hebatnya Tunku, mematahkan dasar dan jiwa penjajah. Sehebat Getaran Jiwa melunakkan hati Kumpulan Ma'unah.
Semakin aku dewasa, semakin ku faham, ini hanya rekaan semata - mata. Telah lebih 50 tahun, Malaysia masih dibelenggu dengan sistem Monarki, Kapitalis, Derajat, penindasan, kezaliman. Masalah kaum masih belum dapat diselesaikan. Ekonomi rakyat masih belum dibanggakan. Sistem pendidikan masih bercelaru. Hak orang miskin dan susah masih belum ada keinginan untuk diselesaikan. Islam masih ditakuk yang menyedihkan. Pelaksanaanya dipolitikkan.
Inilah MERDEKA bagi rakyat Malaysia.
Dan tidak hairan, satu generasi akan datang akan bermadah, sebenarnya kita MERDEKA DARI KOMUNIS. Tidak mustahilkan. MALAYSIA BOLEH.

Friday, May 29, 2009

PEJUANG DAN PAHLAWAN






Setiap perjuangan ada pro dan kontra. Setiap perjuangan ada benar dan salah. Itu adalah lumrah alam yang tak boleh lari. Perjuangan yang sebenar hanyalah menegakkan kalimah Allah di mukabumi. Perjuangan para Nabi dan Sahabat yang hanya untuk Allah sahaja. Mereka gadaikan hatta nyawa dan harta hanya untuk Allah. Itupun masih ada perselisihan fekah dari segi kaedahnya.
Itulah perjuangan, yang pastinya manusia berjuang adalah lebih baik dari manusia yang tidak berjuang mengikut membuta tuli.
Ramai manusia hanya berjuang untuk perut dan bawah perut sahaja. Itulah ideologi dan keyakinan yang utama. Janji ada gaji, boleh makan sudahlah. Yang lain betul atau salah, itu tidak penting. Apa yang boleh mengganggu gugat majikan atau tokey kita, adalah salah. Ramai yang begini.
Tidak kira ada ilmu atau tidak. Janji perut diisi, perut tak kelaparan. Nafsu boleh dipenuhi. Apa cara, tak penting, kalau perlu guna agama pun tak mengapa? Bagi golongan ini bukan syurga dan neraka yang dicari, tetapi perut yang perlu diisi. Dunia perlu dinikmati.
Ada yang berjuang kerana keyakinan. Tanpa mengira risiko atau kesusahan yang ditempuhi, mereka tetap berjuang. Bagi mereka perjuangan adalah untuk ramai orang bukannya diri sendiri. Golongan ini sanggup menggadaikan nyawa demi perjuangan mereka. Perjuangan adalah hak, perjuangan mesti banyak halangan. Ada yang berjaya, ada yang gugur. Sekiranya perjuangan golongan ini ditambah dengan keyakinan untuk Allah, pasti ganjaran yang baik dari Ilahi menanti mereka.
Di awal sejarah kemerdekaan Tanah Melayu, banyak golongan mengaku mereka berjuang. Ada yang berjuang demi Raja, demi British, demi rakyat, demi kemerdekaan dan demi entah apa - apa lagi.
Yang menang adalah golongan yang berjuang demi British dan Raja. Sudahpasti sejarah milik mereka, kerana sejarah dicorak oleh golongan yang menang. Andainya golongan yang berjuang demi rakyat yang menang, pasti sejarah dibaca dari sudut berbeza.
Bagi ku, pejuang tetap pejuang. Benar atau salah, biarlah Allah menentukan.
Polis dan tentera, sumbangan mu tetap ada.Tetapi sumbanganmu yang terbesar adalah kepada majikan. Jika majikan itu benar, maka benarlah. Jika salah maka salahlah. Kamu bukan pejuang tetapi pahlawan. Umpama Hang Tuah pahlawan tetapi bukan pejuang. Hang Tuah di mata Sultan Melaka adalah suruhan paling berharga. Sanggup bergadai nyawa demi Sultan. Benar atau salah, perkara kedua, titah Sultan mengatasi Kalam Allah. Itulah Hang Tuah. Biar dicampak ke dalam Neraka, titah Sultan derhaka jangan.
Malangnya di dunia yang semakin berkembang, pengaruh Hang Tuah ada juga dipegang oleh para Mufti ( pegawai kerajaan paling tinggi ilmu agamanya). Mereka sanggup mengiakan perintah majikan biarpun bertentangan dengan perintah Ilahi. Akhirnya golongan Mufti dipandang jijik oleh masyarakat, kerana sanggup bersekongkol dengan kezaliman. Jadi tidak layaklah Mufti yang sedemikian diletakkan sebagai pejuang.
Leftenan Adnan Saidi adalah pahlawan, sanggup bermatian menentang Jepun. Tetapi dia bukannya pejuang kerana bekerja dan mempertahankan British. Andainya British tidak memberikannya gaji,mungkin tak jadi askar kot. Askar Jepun yang membunuhnya juga pahlawan di mata tentera Jepun.
Pejuang tetap diiktiraf, biarpun di zamannya mereka tidak dihargai. Dato' Bahaman, Tok Janggut, MaharajaLela, Pak Sako, Dr. Burhanuddin, Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam, Abu Samah, Rashid Maidin, dan lain - lain yang tak diketahui namanya. Sejarah Pejuang akan dikaji sampai bila - bila tetapi tidak sejarah pahlawan.