Friday, April 3, 2009

HARI YANG BERSEJARAH?

Hari ini DS Najib telah diistiharkan sebagai PM ke 6 buat tanahair tercinta, Malaysia. Di dalam khutbah Jumaat juga dinyatakan, mungkin nak beritahu rakyat jelata. Dan yang pastinya apabila naik pemimpin baru, ada yang gembira, ada yang duka dan lebih ramai lagi yang tak ada apa - apa (neutral).
Yang gembira pastinya penyokong setia, mudah - mudahan dapat beroleh berkat atau tempias projek. Yang bersedih, pastinya musuh kerana tidak dapat seperti keinginan hati. Yang tiada apa - apa, nak gembira pun tidak bersebab, nak menangis pun tidak bersebab, sebabnya tiada apa yang untung dan tiada apa yang rugi.
Untuk PM ke 6, pastinya tersenyum lebar kerana mendapat ganjaran dan kuasa. Itulah adat dunia, yang menang gembira, yang kalah menangis. Tetapi kemanangan dunia bukan selama - lamanya. Kemenangan sebenar adalah di akhirat, apabila siap dihitung, ditempatkan ke syurga atau neraka. Itulah kehidupan akhirat yang lebih baik dari kehidupan dunia.
Pemimpin sejati adalah Rasulullah s.a.w, yang mementingkan umatnya lebih dari diri sendiri. Tiada harta yang dikumpulkan untuk baginda dan keluarga dan penyokong. Bahkan keluarga dan penyokong juga berkorban segala harta, bahkan nyawa untuk perjuangan baginda. Mampukah PM ke 6, membuat seperti ini, atau berusaha untuk membuat seperti ini. Hanya Allah yang lebih mengetahui.
Sekiranya kuasa dan takhta digunakan untuk memperkayakan diri, keluarga dan penyokong terdekat, nescaya balasan di akhirat menunggu. Siksa yang amat pedih sedang menanti. Menjadi pemimpin adalah amat berat, tanggungjawab bukan hanya kepada diri sahaja, bahkan kepada orang yang dipimpin. Sekiranya orang dipimpin tidak bersolat, pemimpin akan disoal jawab. Apakah usaha telah dibuat? Apakah ilmu telah disampaikan? Yang lebih malang lagi apabila pemimpin sendiri pun belum selesai perkara fardu ain.
Apatah lagi sekiranya pemimpin bersubahat pula menyeleweng, nescaya siksaanya lebih besar. Dosa seorang perompak tidak sama dengan dosa seorang pemimpin yang merompak. Seorang perompak mungkin akan ditembak pak polisi, tetapi bagi pemimpin sudah pasti mampu mengubahnya dengan kuasa yang ada perkara yang salah menjadi benar. Itulah daulat pemimpin.
Pemimpin yang adil satu golongan yang dijanjikan Allah mendapat naungan di Padang Masyar. Mungkin kita merasakan naungan di Padang Masyar, itu kecil, sebab belum kita tempuhi. Naungan itu adalah satu anugerah yang besar, dan ini bermakna untuk menjadi pemimpin yang adil, sudah pasti banyak dugaan. Dugaan yang jelas dinyatakan dari Al Quran ialah isteri, anak dan harta yang akan menjadi penghalangnya. Mampukah pemimpin menghadapinya. Rengekan isteri lebih merenggut hati, Tangisan si anak menghancurkan jiwa. Kehilangan harta pula, ramai yang sakit jiwa. Sudah pasti dugaan menjadi pemimpin lebih hebat dari rakyat. Yang pasti ramai pemimpin yang kecundang dan menangis sendiri di dalam kubur, menyesali nasib.

Sunday, March 29, 2009

MANUSIA MENYUSAHKAN.

Di dalam kehidupan ini, Al Quran telah memberitakan bahawa manusia sentiasa berada dalam kerugian melainkan beberapa golongan. Benarlah seperti yang telah dimaklumkan Allah kerana ia Yang Maha Pencipta.
Di dalam kehidupan bermasyarakat, sekiranya kita tidak menyusahkan orang lain, kita akan disusahkan. Sudah menjadi tabiat manusia untuk menyusahkan orang lain. Memang ada sekelompok manusia yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan kepentingan orang lain.
Golongan seperti ini ada di mana - mana. Sekiranya menjadi peniaga, akan meniaga dengan penipuan yang penting hanya keuntungan tanpa mengira halal atau haram.
Sekiranya menjadi pegawai kerajaan, sudah tentu akan menyusahkan lagi kerana dengan kuasa boleh mnyeleweng atau menyebabkan lebih ramai orang lain susah dengan kerenahnya.
Sekiranya menjadi penganggur, nescaya akan meminjam atau mencuri tanpa mengambil tahu hak siapa pun.
Begitulah kejadian manusia.
Yang menjadi disusahkan ini kebiasaannya golongan yang baik dan beriman. Golongan ini tidak ingin menyusahkan orang lain dan menjauhi diri sedaya upaya dari disusahkan.
Tetapi telah menjadi adat dunia, golongan ini akan menjadi mangsa dan selalu menjadi sasaran. Kebaikan mereka dipandang lekeh, dipermainkan oleh golongan penyusah ini.
Ubat kepada penyakit ini kembali kepada Allah dan yakinlah bahwa setiap perbuatan akan dihitung. Yakinlah azab dan siksa amat pedih yang menanti kita. Yakinlah sedikit azab di alam akhirat menghilangkan semua kenikmatan sepanjang hidup di dunia.
Sekiranya kita menyakini ini nescaya kita takut untuk menganiaya orang lain, takut menzalimi dan akan memudahkan insan lain.
Sekiranya tiada keyakinan ini, tiada bermakna amal ibadat kerana telah menafikan balasan hari akhirat.
Sesungguhnya KEHIDUPAN AKHIRAT ADALAH LEBIH BAIK DARI KEHIDUPAN DUNIA.

Saturday, March 28, 2009

PILIHANRAYA LAGI.

Hari ini penamaan calun untuk tiga tempat, PRK Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batangi Ai. Nampak gayanya Malaysira akan dikuasai oleh mood pilihanraya sehingga 7 April nanti. Macam - macam yang kita dengar dan baca. Yang pastinya Utusan, Berita Harian, RTM, TV3, TV7, TV8, TV9 akan memihak kepada Barisan Nasional. Semua berita yang buruk samada benar atau salah adalah pihak Pakatan Rakyat.
Seperti biasa berita melampau kesohihannya ditambah pula dengan tambahan akan berkumandang.
Pakatan Rakyat pula akan bertahan dan menyerang dan selalu juga berlebihan. Kekadang melampau dah nak sama macam Barisan Nasional.
Rakyat akan melihat, mendengar dan menghadamkaan segala fakta dan dongengan. Pilih dan analisis. Bila tiba tarikh pengundian, pangkah yang mana pilihan. Jangan memilih atas ketaksuban. Pilih lah atas kebenaran. Itulah ciri muslim sejati.
Dan ingatlah amaran Allah, dan azab Allah yang menanti kita. Orang yang menolak kebenaran adalah munafik. Azab disediakan untuk mereka.
Janganlah menganggap memilih pemimpin itu satu benda mainan, ianya ada tanggungjawab yang akan disoal kelak.
SELAMAT MENGUNDI DAN PILIH YANG TERBAIK UNTUK KITA BERASASKAN FAKTA DAN ILMU DARI ALLAH.

Tuesday, March 24, 2009

15 Sebab Turunnya Bala

Cerita Agama @ Nur Ad'din: 15 Sebab Turunnya Bala

UMNO BERUBAH?

Terkedu mendengar berita di pagi hari,kata - kata Dato' Najib, UMNO akan berubah. Berubah macamana tak tahulah. Berubah nama ke atau berubah orang atau berubah pemimpin.
UMNO hanya pertubuhan yang dianggotai oleh segelintir manusia. Manusia di dalamnya akan menentukan UMNO. Jika baik manusia di dalamnya, nescaya baiklah UMNO. Jika tidak, jahatlah ia.
Berubah kepada kejahatan lebih mudah dari berubah kepada kebaikan. Berubah kepada kebaikan amatlah payah, terpaksa ada pengorbanan.Bila disebut pengorbanan maka terpaksalah berkorban. Ini yang menjadi halangan kepada manusia. Jika mudah, murahlah syurga, sedangkan syurga amatlah mahal harganya.
Teringat kepada kisah seorang kawan ahli UMNO, dahulu ia seorang kaki maksiat, bila umur makin meningkat baru teringat Allah, konon - kononnya nak berubah. Mula lah nak sembahyang, nak beribadat. Malangnya apabilha naak buat baik, banyaklah diuji. Bila diuji dia mula mempersoalkan Tuhan pula. Habis diungkit segala amal ibadat, seolah - olah besar sangat amal ibadatnya. Begitulah susah nak berubah. Mampukah ahli UMNO menghadapinya.
Bila nak berubah, ahli UMNO tidak boleh meletakkan materialistik sebagai tujuan berpolitik. Rasa - rasanya amat payah. Setakat yang diketahui, ramai yang masuk UMNO nak projek. Boleh baik dengan Dato' sini Dato' sana. Boleh rapat dengan orang yang ada kuasa. Kalau UMNO dah tiada projek, maka hilanglah ahli - ahli macam ini. Bila dah tiada, maka tiadalah lagi ahli UMNO. Maka tinggallah UMNO parti yang tiada ahli.
Bila berubah kepada kebaikan, UMNO tidak dapat menggunakan kuasa yang ada kerajaan. Sebab UMNO hanya parti, bukannya kerajaan. UMNO milik ahli UMNO, Kerajaan milik rakyat. Bolehkah terjadi macam ini. Sedangkan pemimpin UMNO perlukan kuasa yang ada pada kerajaan nak bagi projek, nak tutup mungkar. Kalau tak ada kuasa, tiadalah kroni. Sedangkan tujuan masuk UMNO yang berselindung disebalik kuasa.
Dipendekkan cerita, bukan senang nak berubah. Perlukan banyak keazaman dan pengorbanan. Mungkin Dato' Najib hanya menyarankan, terpulang kepada ahli UMNO samada nak berubah atau tidak. Hatta Dato' Najib pun tak boleh dipaksa untuk berubah. Terpulang kepada diri masing - masing.
Berubah atau tidak, rakyat boleh menilai. Rakyat yang tentukan. Rakyat bukannya bodoh, rakyat melihat penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah berleluasa dan pelbagai kerenah biokrasi.
UMNO berubah atau tidak, kuasa tetap pada rakyat.
Rakyat tahu UMNO bukan Tuhan, UMNO tak beri rezeki, UMNO tak tentukan hidup mati. Yang berkuasa hanya ALLAH sahaja, Tuhan Pencipta Alam, bukannya UMNO.

Friday, March 20, 2009

ISLAM WARISAN

Alhamdulillah, kita telah ditakdirkan lahir sebagai seorang Islam. Ibu bapa kita adalah Islam, secara otomatik kita juga seorang Islam. Dapatlah kita didedahkan dengan ilmu dan ajaran Islam. Dari mengucap dua kalimah syahadah hinggalah menunaikan ibadat haji di Mekah. Inilah yang diajar kepada majoriti umat Islam di Malaysia. Ini kerana ada dalam sukatan di sekolah menengah. Mungkin bagi yang tak lulus setakakt darjah 6 @n tingkatan 3, mungkin kurang lagi kecuali ibubapa yang menghantar ke sekolah pondok. Bersyukurnya kita kerana inilah antara nikmat yang besar dikurniakan. Segala pujian hanya untukmu ya Allah.
Cubalah bayangkan sekiranya kita dilahirkan sebagai bukan Islam, mampukah kita mencari petunjuk dan ilmu Islam untuk mendapat hidayat dan rahmat Ilahi.
Dan lebih malang lagi, nikmat Islam yang dikurniakan dan dijaga serta dipertahankan. Ramai dari kalangan sanggup mengabaikan nikmat Islam yang ada bagi mencapai nikmat iman. Nikmat Islam tidak dibaja. Ilmu yang dipelajari tidak diamalkan apabila kita meningkat dewasa. Ilmu Islam yang dipelajari tidak ditambah dan dicari, cukupkah ilmu Islam di sekolah - sekolah? Semakin lama ilmu yang ada akan semakin menyusut kerana tidak pernah diamalkan.
Solat pun banyak yang alpa. Apabila tidak bersolat nescaya tidak mengucap. Yang bersolat pun banyak yang tidak sempurna.
Puasa hanya mengikut bulan, pahala puasa pun tidak dijaga. Ramai yang masih berbuat maksiat semasa berpuasa. Bulan puasa pun ramai yang ambil rasuah.
Zakat terasa beban, takut miskin. Sanggup mengeluarkan fatwa sendiri untuk membenarkan perbuatan tidak mahu mengeluarkan zakat.
Haji untuk mengejar trend semasa. Takut ketinggalan dan tiada status 'haji'. Itu pun dibuat dengan berlumba menunjukkan pakej mana yang terhebat.
Muangkinkah itu kita? Tepuk dada tanya diri. Tidak perlu menunding ke orang lain.
Allah telah memberi nikmat Islam, hanya selangkah untuk mencari nikmat iman. Itu pun kita malas dan tidak ingin. Apakah kurang yakin janji Allah, ganjaran syurga yang seluas langit dan bumi? Akhirat itu lebih baik dari penghidupan dunia.
Kalau kita yakin, nescaya tiadalah kita lakukan maksiat. Tidak sanggup kita bersekongkol dengan kaum yang zalim. Tidak sanggup kita makan rasuah. Tidak sanggup kita membunuh, merogol, memukul orang yang kita tahu teraniaya dan tidak bersenjata.
Apabila tiada keyakinan, tiadalah iman. Ini bermakna ilmu Islam yang dipelajari pun mungkin kita tidak percaya. Kategori ini tiada beza dengan orang kafir. Mungkin bezanya apabila mati kita dikebumikan dengan cara Islam. Sedangkan syahadah kita mungkin telah gugur lama dahulu kerana kita tidak yakin dengan janji - janji Allah, kita tidak pernah takut dengan Allah. Kita lebih takutkan menteri, penguasa, boss, takut dibuang kerja, takut tak makan, takut hilang pekerjaan. Kesimpulan takut hanya kepada perkara dunia. Akhirat tidak pernah terlintas dan tiada perasaan takut.
Adakah ini kita, moga dijauhi Allah.
Oleh itu berkorban lah untuk agama, berkorban lah untuk Islam, berkorbanlah untuk Allah dan Rasul. Itu adalah pilihan kita.
Ingatlah, hari pembalasan wajib datang biarpun tidak dijemput. Jangan tunggu malaikat tiba untuk membuktikan kepada kita. Segala - galanya telah terlambat.